Tunggu nasihat Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Ketua Menteri respons ‘Kluster Penjara’

Admin

BAYAN LEPAS – Sesi saringan pemeriksaan COVID-19 melibatkan kelompok pertama banduan di Penjara Reman Pulau Pinang dijangka siap pada Ahad ini serta akan dihantar ke makmal dekat Ipoh, Perak untuk proses pengesahan selanjutnya.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) Pulau Pinang menunggu nasihat seterusnya daripada pihak Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) demi memastikan langkah kawalan perebakan wabak tersebut terhadap banduan lain serta petugas penjara dapat dilakukan secara bersepadu.

“Jangan pandang pada angka-angka (mereka yang disaring untuk membuat pemeriksaan lanjut) sahaja, yang penting adalah selepas selesai pemeriksaan ini, selesai (kenal pasti mereka yang) positif COVID-19, pesakit-pesakit yang positif ini dapat diasingkan untuk rawatan selanjutnya.

“Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKNPP) akan menasihati Kerajaan Negeri tentang situasi terkini,” responsnya kepada pemberita selepas merasmikan acara penyampaian kunci kediaman kepada para pembeli rumah mampu milik (RMM) Residensi Dua Teluk Kumbar di sini pada pagi tadi.

Turut serta, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Keusahawanan, Abdul Halim Hussain; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Mohd. Bazid Abd. Kahar turut sertai acara ringkas tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : LAW SUUN TING