Ketua Menteri hargai sumbangan Dr. Fazilah menjelang persaraan wajib

Admin
whatsapp image 2026 06 08 at 14.25.01

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat perpisahan daripada Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Fazilah Shaik Allaudin yang bakal bersara wajib pada 15 Jun ini.

Dalam pertemuan yang berlangsung sebentar tadi, Kon Yeow merakamkan penghargaan atas kepimpinan serta sumbangan Dr. Fazilah sepanjang menerajui Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang sejak Februari 2023 terutama dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan awam di negeri ini.

Sementara itu, Dr. Fazilah turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kon Yeow serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri yang sentiasa memberikan sokongan kepada pelbagai inisiatif kesihatan di Pulau Pinang.

Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana Pulau Pinang mempunyai rangkaian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dan sentiasa berganding bahu dengan pihak kesihatan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau, meskipun bakal menamatkan perkhidmatan selepas hampir 35 tahun mencurah bakti dalam sektor kesihatan, pengalaman dan kepakaran yang dimiliki akan terus dimanfaatkan untuk menyumbang kepada masyarakat.

Sebagai rekod, Dr. Fazilah turut mengharumkan nama sektor kesihatan awam negara apabila dipilih sebagai salah seorang penerima AFFIN INVIKTA Top 50 Women of Excellence Awards 2025, sebuah anugerah berprestij yang mengiktiraf wanita berpengaruh atas sumbangan cemerlang mereka kepada negara.

Selamat bersara, Dr. Fazilah dan terima kasih atas segala jasa serta pengorbanan demi kesihatan rakyat di Pulau Pinang.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT