Naik taraf Kawasan Lapang Taman Tembusu tingkat kualiti hidup komuniti setempat

Admin
img 20260607 093448

SUNGAI PUYU – Projek naik taraf Kawasan Lapang Taman Tembusu di sini diyakini mampu meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat menerusi penyediaan kemudahan rekreasi yang lebih selesa, selamat dan mesra keluarga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Syn Tze berkata, projek berkenaan merupakan inisiatif penting dalam usaha mewujudkan persekitaran komuniti yang kondusif serta memenuhi keperluan penduduk pelbagai lapisan usia.

Menurut beliau, pelbagai kemudahan baharu telah disediakan termasuk laluan pejalan kaki, landskap yang dinaik taraf serta alatan permainan kanak-kanak yang dijangka memberi manfaat menyeluruh kepada komuniti setempat.

“Projek naik taraf kawasan lapang Taman Tembusu ini sememangnya amat penting dalam usaha kita meningkatkan kualiti hidup penduduk melalui penyediaan kemudahan rekreasi yang lebih selesa, selamat dan mesra keluarga.

“Saya percaya, pelbagai kemudahan seperti laluan pejalan kaki, landskap baharu serta alatan permainan kanak-kanak akan memberi manfaat kepada komuniti setempat secara menyeluruh,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Naik Taraf Kawasan Lapang Taman Tembusu di sini semalam.

img 20260607 112452img 20260607 093725

Turut hadir, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Chong Wei Hoong; Hasrul Husin dan K. Yoganraj Thever; pegawai-pegawai MBSP; wakil TNB, Ir. Mohd. Firdaus Auzir dan Rosmawati Yahaya serta wakil Persatuan Cheng Hoe Tong Seberang Perai, Dato’ Peter Teoh.

Majlis berkenaan turut menyaksikan aktiviti penanaman sebanyak 36 pokok menerusi kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB), Persatuan Cheng Hoe Tong Seberang Perai serta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Syn Tze berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak empat pokok Purple Orchid Tree dan enam pokok Handkerchief merupakan sumbangan MBSP, manakala 26 pokok pinang ditanam menerusi Program 7P’s – People, Public, Private, Philanthropy, Philosopher, Planet & Partnership) bersama rakan-rakan strategik.

Beliau berkata, usaha penghijauan itu bukan sahaja mampu mencantikkan kawasan sekitar, malah menjadi simbol komitmen bersama dalam memelihara kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang.

“Penanaman pokok ini bukan sahaja akan mencantikkan kawasan sekitar, malah menjadi simbol komitmen kita terhadap agenda penghijauan dan kelestarian alam sekitar,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek naik taraf dan program penanaman pokok tersebut.

Katanya, kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, wakil rakyat, sektor korporat, persatuan serta masyarakat setempat wajar dijadikan contoh dalam usaha membangunkan komuniti yang lebih hijau, selamat dan sejahtera.

Sementara itu, Wei Hoong berkata antara kerja naik taraf yang telah dilaksanakan termasuk pembinaan laluan pejalan kaki, kerja-kerja tanah, pemasangan penghadang motosikal, pembinaan bollard serta penanaman rumput bagi memperkemaskan landskap kawasan berkenaan.

Menurutnya, sebanyak tiga tiang lampu solar turut dipasang bagi meningkatkan pencahayaan dan aspek keselamatan pengguna, di samping pembinaan trek joging menerusi peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Sebanyak empat set peralatan gimnasium luar turut disediakan melalui peruntukan Ahli Majlis MBSP khusus untuk kegunaan warga emas dan penduduk setempat yang ingin menjalani aktiviti riadah secara sihat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa kawasan tersebut juga dilengkapi pelbagai kemudahan permainan kanak-kanak termasuk satu set permainan bersepadu, buaian dua tempat duduk dan jongkang-jongket dua tempat duduk.

“Kemudahan ini memberi peluang kepada kanak-kanak dari Taman Tembusu, Taman Puyu dan kawasan sekitar menikmati ruang permainan yang lebih selamat, manakala ibu bapa pula dapat meluangkan masa bersama keluarga di kawasan rekreasi berhampiran kediaman masing-masing.

“Penambahbaikan ini mungkin kelihatan ringkas, tetapi kesannya sangat besar kepada penduduk kerana kawasan ini kurang tersusun sebelum ini tetapi kini menjadi lebih kemas, teratur dan selamat untuk digunakan,” ujarnya.

Pada masa sama, Wei Hoong merakamkan penghargaan kepada TNB kerana telah menyumbang sebanyak RM8,000 bagi menjayakan program penanaman pokok tersebut, manakala Persatuan Cheng Hoe Tong Seberang Perai bertindak sebagai penjaga (caretaker) kepada pokok-pokok yang ditanam.

“Saya percaya pokok-pokok yang ditanam pada hari ini akan memberi manfaat jangka panjang kepada kawasan ini.

“Selain mencantikkan landskap, pokok-pokok ini juga dapat membantu mewujudkan suasana yang lebih hijau, redup dan nyaman kepada penduduk,” katanya.

Beliau turut menyeru penduduk agar bersama-sama menjaga kemudahan yang telah disediakan supaya kawasan rekreasi berkenaan terus kekal bersih, ceria dan selamat untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

“Sekiranya kita sama-sama menjaga kemudahan ini, saya yakin kawasan ini akan terus menjadi tempat rekreasi yang ceria, bersih dan selamat untuk digunakan oleh semua,” katanya.

Teks & Gambar: SUNARTI YUSOFF