Ketua Menteri jumpa TYT maklum kekosongan jawatan Exco

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas bagi memaklumkan mengenai kekosongan jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

 

Beliau tiba di Seri Mutiara di sini pada jam 5:24 petang tadi dengan menaiki kenderaan rasmi serta diiringi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar dan Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri, Dato’ Norazmi Mohd. Narawi.

 

Terdahulu dalam sidang media di Komtar tengah hari ini, Kon Yeow mengumumkan peletakan jawatan Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin yang berkuat kuasa serta merta hari ini.

 

Walau bagaimanapun, Afif masih lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya di bawah Pakatan Harapan Pulau Pinang.

 

KETUA Menteri dan Abdul Razak Jaafar (kiri) mengadakan pertemuan dengan Abdul Rahman Abbas di Seri Mutiara.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN