Pulau Pinang harap layanan adil selepas Putrajaya berubah Kerajaan – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, YAB Tuan Chow Kon Yeow hari ini berharap pentadbirannya mendapat layanan yang adil ekoran berlaku perubahan politik dalam peringkat Kerajaan Persekutuan baru-baru ini.

“Di Pulau Pinang, kita tidak minta layanan istimewa, tapi kita harap layanan yang adil daripada Kerajaan Persekutuan kerana sumbangan daripada Pulau Pinang pada segi ekonomi dan pembangunan Malaysia.

“Maka, kita harap apa pun keputusan yang dibuat, tidak sampai menderitakan rakyat susulan perubahan politik (pada peringkat Putrajaya),” jelasnya dalam sidang media di Komtar pada 4 Mac 2020.

Kon Yeow dalam pada itu turut menzahirkan kekesalan atas tindakan ahli politik serta parti tertentu yang mengkhianati mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), 9 Mei 2018.

“Kami telah menyuarakan kekesahan yang setinggi-tingginya di atas apa yang berlaku di peringkat Persekutuan yang mana Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan telah ditumbangkan kerana tindakan-tindakan oleh ahli-ahli politik serta parti-parti politik yang membelakangkan mandat yang diberikan oleh rakyat jelata, bersubahat dengan parti-parti pembangkang dalam skim menjatuhkan Pakatan Harapan ini.

“Pihak Kerajaan Negeri sedia untuk menghadapi suasana atau realiti politik yang sudah berubah, dan ianya bermakna ia balik kepada keadaan sebelum tahun 2018 iaitu dalam tempoh tempoh 2008 sehingga 2018.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang Pakatan Harapan adalah kerajaan yang tidak selari dengan Kerajaan Persekutuan, dan, kita telah berusaha dalam keadaan demikian,” ulasnya.

Turut serta, semua Exco Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Abdul Razak Jaafar.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMMAD
Video : CHAN KOK KUAN & ALISSALA THIAN