Ketua Menteri kunjungi rumah terbuka ICU, Jabatan Kewangan Negeri

Admin

KEMERIAHAN SYAWAL… Usai menghadiri Mesyuarat Pembangunan Negeri di Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sempat meluangkan masa kira-kira 45 minit mengunjungi Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri di sini.

Chow Kon Yeow bergambar bersama-sama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri selepas selesai Mesyuarat Pembangunan Negeri di Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Pulau Pinang.

Kon Yeow bersama-sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus; barisan Exco Kerajaan Negeri; ex-officio Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta Ketua-ketua Jabatan berwajib menjamu selera di Anjung Putra dengan diiringi Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Mohamad Farazi Johari.

Kambing golek, mi sotong, sate ‘tembun’, laksa, ketupat dan rendang serta durian antara juadah yang dihidangkan kepada para tetamu.

Sementara itu, kehadiran Kon Yeow ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Pejabat Kewangan Negeri Pulau Pinang dekat Komtar juga ternyata menambahkan lagi kemeriahan suasana.

Kehadiran beliau disambut mesra oleh kakitangan jabatan berkaitan yang tidak melepaskan peluang untuk berswafoto.

Pasemboe antara juadah yang dihidangkan pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Jabatan Kewangan Negeri Pulau Pinang.

Turut hadir menyerikan majlis, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Sarul Bahiyah Abu; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, Ong Bee Leng serta ramai lagi.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI & SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS