Ketua Menteri meriahkan majlis sambutan rumah terbuka Deepavali TKMII

BUKIT TAMBUN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Deepavali Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy dekat kediamannya di Taman Villa Mutiara 4 pada 6 November 2018.

Kon Yeow yang ditemani isteri tiba sekitar jam 12.30 tengahari dan disambut barisan tetamu jemputan khas majlis berkaitan.

Beliau menghabiskan masa kira-kira sejam menikmati juadah istimewa yang disediakan selain berkesempatan menyantuni tetamu daripada berbilang kaum di sini.

Ramasamy dalam ucapan ringkasnya memberitahu bahawa penganjuran rumah terbuka bagi setiap sambutan perayaan merupakan suatu tradisi yang unik serta berupaya menyatukan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang; Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Zairil Khir Johari (Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir); Ahli Parlimen Bukit Mertajam merangkap Timbalan Menteri Belia Sukan, Steven Sim Chee Keong; Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus serta isteri.

Ketua Menteri menyantuni tetamu yang hadir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; M. Satees (ADUN Bagan Dalam); Jason H’ng Mooi Lye (ADUN Jawi); Teh Lai Heng (ADUN Komtar merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri); Gooi Zi Sen (ADUN Pengkalan Kota); Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Ir. Rosnani Mahmod dan Ahli-Ahli Majlis bagi MPSP turut hadir memeriahkan majlis.

Perayaan Deepavali  disambut setiap tahun oleh masyarakat beragama Hindu di seluruh dunia sebagai tanda kemenangan oleh kuasa kebaikan terhadap kuasa kejahatan.

Hari Deepavali bermula dengan menyapu minyak bijan di atas kepala dan badan untuk menyejukkan badan, diikuti upacara sembahyang bersama-sama ahli keluarga di rumah dan mendapat restu daripada ibu bapa serta orang tua sebelum ke kuil.

Pada waktu malam pula, barisan lampu dinyalakan dan bunga api serta mercun memeriahkan lagi sambutan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD.DAUD