Belanjawan 2019: Tender terbuka tak jejas Bumiputera, respons Guan Eng

BAYAN LEPAS – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberitahu bahawa pelaksanaan tender terbuka sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan 2019 Pusat tidak akan menjejaskan agensi Bumiputera dan Melayu.

“Saya bagi contoh seperti Kontraktor Kelas F, apabila kita cadangkan tender terbuka, ia adalah tender terbuka dalam kalangan kontraktor Kelas F.

“Apa yang dilaksanakan sekarang ialah kita (Kementerian Kewangan) tukar kepada sistem tender terbuka, tapi agenda Bumiputera masih kekal sama (seperti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14, 9 Mei lalu).

“Seperti yang telah saya sebut, apabila projek membabitkan PNB (Permodalan Nasional Berhad) atau MARA (Majlis Amanah Rakyat), tender terbuka dalam kalangan kontraktor Bumiputera,” jelasnya kepada pemberita dekat Hotel Equatorial pada 7 November 2018.

Sebelum itu, beliau menyampaikan taklimat khas mengenai Bajet 2019 Pusat di sini.

Menjawab soalan pemberitahu lagi, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) memberitahu, masalah berbangkit di sebalik pelaksanaan tender tertutup atau tender secara rundingan terhad oleh Kerajaan Persekutuan terdahulu memaksa kontraktor-kontraktor Bumiputera berwibawa perlu mendapatkan tandatangan pihak tertentu termasuk ‘Ketua Bahagian’, demi mendapatkan projek Persekutuan.

“Sebagai contoh, apabila kita (Kerajaan Negeri sejak tahun 2008) amalkan dekat Pulau Pinang, kita boleh lihat ada kontraktor-kontraktor Bumiputera yang benar-benar buat kerja punya,” ujarnya yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : CHAN KOK KUAN