Ketua Menteri meriahkan sambutan Tahun Baru Cina anjuran The TOP Penang

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan isteri, Puan Tan Lean Kee hadir memeriahkan majlis jamuan makan tengah hari sempena sambutan Tahun Baru Cina 2019 anjuran peneraju taman tema tertutup terkemuka di Pulau Pinang, The TOP Penang.

Ketibaan mereka disambut dengan penuh gilang-gemilang oleh Ketua Pegawai Eksekutif Only World Group (OWG) yang juga peneraju The TOP Penang, Tan Sri Richard Koh dengan iringan paluan gendang Cina dan tarian singa.

Hadir sama, barisan pimpinan Kerajaan Negeri serta tetamu jemputan khas.

Turut kelihatan pada majlis tersebut ialah Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T. Narenasagaran.

KETUA Menteri (depan, kanan) dan Richard Koh (depan, kiri) bersama-sama tetamu jemputan khas bersedia untuk menyempurnakan acara lou sang.

Kon Yeow dan isteri meluangkan masa hampir dua jam di majlis tersebut dan turut berkesempatan menyempurnakan acara ‘lou sang’.

Tetamu pelbagai bangsa juga hadir memeriahkan sambutan yang menyajikan pelbagai juadah antarabangsa antaranya pasta pesto, piza itali, sushi, asam laksa, mi kari dan ais kacang.

Selain itu, para tetamu juga dihiburkan dengan persembahan kebudayaan dan nyanyian. Paling mencuri tumpuan adalah persembahan boria dan gesekan violin oleh pelajar-pelajar sekolah terpilih di Pulau Pinang.

Malah, The TOP Penang turut berkongsi keriangan dengan menyampaikan sumbangan kepada Persatuan Kebajikan Warga Emas Harmoni Pulau Pinang dan The Penang Buddhist Association Senior Citizen’s Home.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI