MPSP fokus bantu golongan B40 jana ekonomi melalui bidang perniagaan

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) terus melaksanakan pelbagai garis panduan yang memberi kemudahan kepada golongan berpendapatan kurang RM3,000 (B40) untuk menjana ekonomi melalui bidang perniagaan.

Yang di-Pertuanya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, antara yang bakal diperkenalkan pada tahun ini adalah garis panduan berkaitan trak makanan dan perkhidmatan trak termasuk perniagaan yang tidak berisiko.

“Tahun 2019 adalah tahun berpaksikan rakyat yang mana kita (MPSP) melaksanakan pelbagai garis panduan yang memberi kemudahan kepada golongan B40 untuk memulakan perniagaan atau meneruskan perniagaan.

“MPSP juga membuat garis panduan bagi perniagaan yang tidak berisiko di kampung-kampung yang mana mereka mempunyai perniagaan ini tidak dapat memohon lesen (perniagaan) kerana dasar yang ada sekarang tidak membolehkan mereka memohon (lesen perniagaan tidak berisiko).

“Oleh itu, MPSP membuat dasar untuk memudahkan permohonan dan memberi peluang kepada mereka untuk berniaga sekaligus membantu golongan B40 untuk menjana ekonomi sendiri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Korporat Kakitangan MPSP, dekat Bandar Perda, di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Rozali juga memberitahu bahawa MPSP juga bakal mengadakan ruang perniagaan berbentuk dataran serba guna yang boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti termasuk perniagaan.

“Di samping itu, MPSP juga akan mengadakan santai pengusaha dan kita akan menjemput pihak bank, Majlis Amanah Rakyat (MARA), institusi kewangan serta pembuat reka bentuk trak makanan.

“Dari sini mereka boleh berbincang dan memilih syarikat mana yang menawarkan harga berpatutan dan boleh terus memohon pinjaman dengan bank dan sekiranya pinjaman diluluskan, kita akan terus beri lesen,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD