Ketua Menteri puji komitmen MBSP naik taraf Kolam Renang Jalan Betek RM3.76 juta

Admin
img 20260613 wa0048

PADANG LALANG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji komitmen Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dalam merealisasikan projek menaik taraf Kolam Renang Jalan Betek, yang disifatkan sebagai satu pelaburan penting demi kesejahteraan dan kesihatan rakyat.

Menurut beliau, projek yang telah lama dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) itu akhirnya berjaya disiapkan hasil peruntukan berjumlah RM3.76 juta yang disediakan oleh MBSP.

“Syabas dan tahniah atas siapnya satu projek menaik taraf kolam renang dekat Kompleks Sukan dan Rekreasi MBSP yang sememangnya dibincangkan dalam mesyuarat Exco sejak lama dahulu.

“Terima kasih kepada MBSP kerana telah memberi peruntukan RM3.76 juta untuk menyediakan satu kemudahan bagi orang ramai, khususnya perenang dan keluarga mereka menggunakan kemudahan ini,” katanya ketika ditemui sempena Jelajah Ketua Menteri Pulau Pinang ke Kawasan Dewan Undangan Undangan Negeri (KADUN) Padang Lalang di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; Exco Belia, Sukan dan Kesihatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Daniel Gooi Zi Sen; Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; barisan Ahli Majlis bagi MBSP dan Pengarah Kejuruteraan MBSP, Mohd. Syukri Said.

img 20260613 wa0040img 20260613 wa0046img 20260613 wa0049img 20260613 wa0052

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa MBSP sebelum ini turut melaksanakan pelbagai kerja menaik taraf Kompleks Sukan dan Rekreasi MBSP bagi memastikan kemudahan awam yang lebih selesa serta berkualiti dapat dinikmati oleh masyarakat setempat.

Beliau turut menyatakan bahawa kawasan rekreasi Wood Havens yang terletak berhampiran kawasan kompleks sukan berkenaan merupakan antara lokasi riadah popular dalam kalangan warga Seberang Perai, khususnya penduduk Bukit Mertajam.

“Kerajaan Negeri dan MBSP sememangnya memberi fokus kepada projek-projek yang memberi manfaat kepada rakyat, tertakluk kepada dana dan peruntukan yang ada untuk menambah baik kemudahan awam.

“Projek-projek seperti ini akan membantu rakyat menjalani kehidupan yang lebih sihat dan aktif yang kita ingin galak serta promosikan dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.

Sementara itu, Zi Sen memberitahu bahawa projek menaik taraf secara menyeluruh Kolam Renang Jalan Betek dimulakan sejak Februari tahun lalu kini siap sepenuhnya.

Menurut beliau, kemudahan tersebut dijadual dibuka semula kepada orang ramai pada penghujung bulan ini.

“Projek ini melibatkan kerja-kerja menaik taraf keseluruhan kolam renang termasuk bilik persalinan, pembinaan tandas baharu untuk lelaki, wanita dan orang kurang upaya (OKU), selain pemasangan lampu serta penambahbaikan kemudahan berkaitan.

“Walaupun projek fizikal telah siap, MBSP masih menjalankan proses pentauliahan (commissioning), ujian dan pemeriksaan sistem bagi memastikan semua peralatan termasuk pam berfungsi dengan baik sebelum dibuka kepada orang ramai,” ulasnya lanjut.

Dalam pada itu, Baderul Amin mengumumkan kadar baharu tiket masuk kolam renang tersebut, iaitu RM4 bagi dewasa, RM2 bagi kanak-kanak dan warga emas, manakala OKU menikmati kemasukan percuma.

Bagi bukan warganegara, katanya, kadar yang dikenakan ialah RM15 seorang.

“Buat pertama kali juga, kemudahan tersebut memperkenalkan pakej keahlian bulanan dan tahunan bagi memberikan nilai tambah kepada pengguna tetap.

“Kadar keahlian yang ditawarkan ialah RM53 sebulan bagi dewasa dan RM21.20 sebulan bagi kanak-kanak.

“Selain itu, pengguna turut boleh memilih pakej enam bulan pada kadar RM212 atau pakej tahunan RM371 yang membolehkan penggunaan tanpa had sepanjang tempoh keahlian.

“Pengenalan pakej keahlian ini dijangka memberi manfaat kepada orang ramai, khususnya mereka yang kerap menggunakan kemudahan kolam renang, selain menawarkan pilihan yang lebih menjimatkan berbanding pembayaran secara harian,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT