Ketua Menteri puji MIFA anjur Kejohanan Bola Sepak 12 Tahun Antara Sekolah-Sekolah Kebangsaan Tamil

BATU UBAN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini memuji kejayaan Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun Antara Sekolah-Sekolah Kebangsaan Tamil 2022 yang melibatkan 32 pasukan dari seluruh negara di sini.

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi semasa berucap pada acara perasmian pembukaan kejohanan tersebut antara lain berkata bahawa pihaknya berharap lebih banyak persatuan dan pemegang taruh dapat menganjurkan kejohanan peringkat kebangsaan seumpama itu di Pulau Pinang.

“Tidak dapat dinafikan bahawa tugas untuk memastikan matlamat pembangunan sukan dapat direalisasikan tepat pada masanya merupakan tanggungjawab bersama dalam kalangan semua komuniti.

“Dengan itu, keutamaan harus diberikan kepada pengajuran kejohanan sebegini bagi memupuk semangat perpaduan komuniti dalam wadah sukan.

“(Di samping itu juga,) saya berharap para pemain dapat menggunakan platform (kejohanan peringkat kebangsaan) ini sebagai pentas untuk membina keyakinan diri serta mengasah bakat masing-masing,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan dalam acara berkaitan di padang bola sepak Arena KOPA Universiti Sains Malaysia (USM) pada 26 November 2022.

Turut berucap, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan dan Sains, Teknologi & Inovasi merangkap ADUN Perai.

Presiden MIFA, K. Anpananthan sebelum pada itu menyatakan bahawa adalah menjadi cabaran positif kepada pihak pertubuhannya pada masa hadapan untuk menganjurkan kejohanan peringkat kebangsaan seumpama ini dengan melibatkan pelbagai kaum.

Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Mohd. Azizudin Mohd. Shariff dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP, P. David Marshell antara tetamu yang hadir pada majlis perasmian pembukaan kejohanan tersebut tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI