Kerajaan Negeri komited selesaikan masalah penduduk Taman Dedaun Bandar Cassia

Admin

BUKIT TAMBUN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu penduduk di Taman Dedaun, Bandar Cassia dekat Batu Kawan sejak sekian lama.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata antara isu-isu yang dibangkitkan oleh persatuan penduduk taman berkenaan adalah melibatkan masalah infrastruktur seperti kerosakan jalan, penyelenggaraan dan lampu jalan.

“Selain itu, projek ini juga menghadapi masalah rumah tidak terjual dan ada juga rumah yang sudah ada pembeli tetapi masih masih belum dibina selain terdapat rumah yang dibina tidak mematuhi syarat ditetapkan.

“Dalam kes seperti ini, pihak Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) akan membeli semula plot-plot berkaitan sekiranya mereka tidak dapat membina rumah dalam tempoh ditetapkan sebagaimana yang dinyatakan dalam perundangan,” katanya semasa dalam majlis perjumpaan dengan persatuan penduduk Taman Dedaun dekat sini sebentar tadi.

Ketua Menteri meninjau masalah di Taman Dedaun.

Beberapa kemudahan yang terdapat di Taman Dedaun Bandar Cassia tidak diselenggara dengan baik.

Tambah Kon Yeow, perumahan Taman Dedaun merupakan skim perumahan biasa yang mana semua kemudahan awam sepatutnya diserahkan kepada agensi-agensi bertanggungjawab untuk tujuan penyelenggaraan.

“Memandangkan perumahan ini merupakan skim perumahan yang lazim, maka kemudahan-kemudahan di sini perlu diserahkan kepada agensi-agensi bertanggungjawab.. hanya isu keselamatan dan yang berkaitan sahaja patut dipertanggungjawabkan kepada persatuan penduduk.

“Bagi menyesaikan masalah yang dibangkitkan, baru-baru ini PDC telah meluluskan peruntukan berjumlah RM2 juta untuk menaik taraf kemudahan-kemudahan di Taman Dedaun sehingga memenuhi syarat ditetapkan sebelum diserahkan kepada agensi berkaitan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ir. Baderul Amin Abdul Hamid; Ahli Majlis bagi MBSP, P. David Marshel, ahli jawatankuasa Majlis Pengerusa Komuniti Kampung (MPKK) serta wakil-wakil persatuan penduduk Taman Dedaun.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri juga telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM40,000 untuk tujuan menyelenggara Dewan Orang Ramai Bandar Cassia demi keselesaan penduduk setempat.

“MBSP telah menyerahkan dewan ini kepada MPKK, dan kita berharap dewan ini dijaga dan diselenggara dengan baik demi manfaat penduduk di sini,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NURATIKAH RAHMAT
Video : LAW SUUN TING