SEBERANG JAYA – Lebih 2,000 komuniti setempat menyertai Program Komuniti Jiwa Komuniti Madani Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seberang Jaya di perkarangan tapak parkir pusat membeli-belah Lotus dekat sini pada 7 September 2025.
Program itu adalah anjuran bersama Jabatan Penerangan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Komuniti MADANI Bandar Seberang Jaya dan Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) lokal, Fayyadh Afiq Albakry.


Semasa merasmikan program tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi mengucapkan tahniah kepada ketiga-tiga pihak berkenaan kerana berjaya menganjurkan acara bersifat patriotisme terus ke peringkat akar umbi.
“(Penganjuran acara dengan tema patriotisme terus ke peringkat akar umbi) sebegini adalah amat penting dalam memperkasa perpaduan, nilai-nilai kemasyarakatan dan semangat cintakan negara (patriotisme) dalam kalangan komuniti kita,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Baginya, penganjuran Program Jiwa Komuniti MADANI terus ke peringkat akar umbi adalah suatu manifestasi langsung berdasarkan kejelasan visi yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim yang berteraskan nilai-nilai kemanusiaan, keadilan sosial dan tadbir urus yang baik.


Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut mengulas mengenai ambang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) yang bakal menjadi landasan utama pembangunan negara termasuk negeri Pulau Pinang bagi tempoh tahun 20026 hingga 2030.
“Antara fokus utama yang diberikan penekanan (dalam RMKe-13) termasuklah pembangunan ekonomi hijau, transformasi digital, keterangkuman sosial dan pembasmian kemiskinan tegas.
“Maka, program seperti ini bukan sahaja memperkukuh semangat nasionalisme, tetapi juga menyediakan rakyat untuk menjadi sebahagian daripada pembangunan negara yang inklusif dan progresif,” ujarnya sebelum menyempurna acara pelepasan Larian I❤️Malaysia sebentar tadi.
Pertandingan mewarna, pakaian beragam dan Mobile Lagend; pameran agensi Jabatan Penerangan Malaysia (JPN), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP); ‘pocket talk’; senamrobik dan zumba merupakan antara acara yang berlangsung.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD