Ketua Menteri puji semangat perpaduan sambut Maulidur Rasul

Admin
KETUA Menteri turut menyertai barisan pemimpin NGO Persatuan Peniaga-Peniaga Kompleks Padang Brown mengedarkan pek makanan kepada para penyambut Maulidur Rasul di sini pada 28 September 2023

GEORGE TOWN – Sempena sambutan Maulidur Rasul 2023, Persatuan Peniaga-Peniaga Kompleks Padang Brown pagi ini menganjurkan program edaran 1,000 pek bungkusan makanan kepada penduduk lokal yang terdiri daripada pelbagai kaum.

KETUA Menteri

Semasa merasmikan program tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan yang baginya adalah selari dengan program kebajikan dilaksanakan peringkat Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan di bawah tema ‘Rahmah’.

“Saling menghormati tanpa mengira latar belakang adalah sangat penting bagi melahirkan masyarakat Madani.

“Pada hari ini kita (Kerajaan Perpaduan Negeri) kira Pulau Pinang sudah hampir menjadi sebuah negeri yang maju, dan sumbangan daripada komuniti adalah penting sebab tanpa sebuah masyarakat yang mementingkan perpaduan serta semangat toleransi, harmoni dan juga saling menghormati dalam kalangan rakyat kita, maka, kita tidak mampu mencapai (tahap) pembangunan ini,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi di perkarangan Medan Selera Padang Brown pada 28 September 2023.

SUASANA para penyambut Maulidur Rasul sedang beratur bagi mendapatkan pek makanan di Medan Selera Padang Brown di sini pada pagi ini.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan berkata bahawa pentadbirannya komited untuk terus memartabatkan institusi berkaitan agama Islam serta umat tanpa meminggirkan kepentingan komuniti lain di negeri ini.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang senantiasa prihatin dengan pembangunan pelbagai aspek termasuk (pembangunan) agama Islam.

“Dalam pembentangan Manifesto Perpaduan Pulau Pinang Tahun 2023, Kerajaan Negeri telah mencadangkan bantuan ‘one-off’ RM1,000 kepada setiap jemaah haji dari golongan B40 (isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah) yang terpilih bagi meringankan beban (mereka),” ujarnya.

ADUN Komtar, Teh Lai Heng; Lau Keng Ee (Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri); Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Padang Brown, Jamal Mohamed dan barisan anggota serta pegawai polis dari Balai Polis Datuk Keramat dan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut turut sertai majlis sambutan ‘hari puja lahir’ Nabi Muhammad S.A.W. tersebut.

Dalam sidang media selepas itu, Kon Yeow menyatakan bahawa Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye akan menjelaskan dalam sidang media pada pagi ini berhubung pelantikan Ahli-ahli Majlis baharu, bagi kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) sama ada turut melibatkan wakil Barisan Nasional (BN) atau sebaliknya sebagaimana diputuskan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri semalam.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar & Video : SIEW CHIA EN