Ketua Menteri puji usaha berterusan Kuil Sri Muniswarar jaga kebajikan golongan kurang mampu

PERAI – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji usaha berterusan pihak pengurusan Kuil Sri Muniswarar dalam menjaga kebajikan golongan kurang berkemampuan termasuk orang kurang upaya (OKU).

Malah, beliau turut menyatakan rasa bangga terhadap usaha pihak kuil yang telah mengadakan pemberian hamper sempena sambutan Hari Deepavali tanpa gagal selama 15 tahun berturut-turut.

“Pihak pengurusan kuil sangat aktif melaksanakan pelbagai aktiviti pendidikan dan program amal kebajikan demi membawa manfaat kepada masyarakat Hindu dan penganut kuil ini.

“Mudah-mudahan, melalui platform yang kukuh ini, masyarakat Hindu akan menjadi lebih bersatu padu serta saling membantu di antara satu sama lain.

 

 

“Saya juga difahamkan, ramai penyumbang dan penderma yang terdiri daripada individu, syarikat korporat serta pelbagai pertubuhan sudi tampil ke hadapan bagi menyokong pihak pengurusan kuil untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti kebajikan ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyampaian Hamper Perayaan Deepavali Tahun 2023 dekat Dewan Kuil Sri Muniswarar, Jalan Baru di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Dato’ Seri S. Sundarajoo; Ketua Pemegang Amanah Kuil Sri Muniswarar yang juga Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia, Datuk N. Gobalakrishnan; Presiden Kuil Sri Muniswarar, Major (K) M. Segaran serta barisan ahli jawatankuasa Kuil Sri Muniswarar.

Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan menyatakan bahawa setiap tahun, Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan kepada Lembaga Wakaf Hindu (HEB) Pulau Pinang demi kesejahteraan masyarakat India di negeri ini.

Selain itu beliau memberitahu bahawa sebanyak RM627,000 disalurkan melalui peruntukan tahunan Ahli Parlimen Batu Kawan kepada sekolah-sekolah di kawasan Perai pada tahun ini.

“Diharapkan dengan bantuan sedemikian, institusi pendidikan di kawasan Batu Kawan terutamanya di Perai akan sentiasa diperbaiki supaya dapat melahirkan modal insan berkuali yang amat penting untuk pembangunan negeri Pulau Pinang yang kita cintai ini,” ujarnya.

Sementara itu, Segaran berkata bahawa pihak pengurusan Kuil Sri Muniswarar telah melaksanakan pemberian sumbangan kepada golongan memerlukan sempena Hari Deepavali selama 15 tahun berturut-turut.

“Tahun ini, kami belanjakan RM150,000 untuk mengagihkan 350 hamper yang mengandungi pakaian tradisional dan bahan makanan bernilai kira-kita RM200 setiap satu,” ulasnya ringkas.

Terdahulu, majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian serta tarian tradisional yang dipersembahkan oleh kanak-kanak yang sedang mengikuti kelas tarian di Kuil Sri Muniswarar.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS