Ketua Menteri puji usaha JBPM sedia garis panduan bina stesen pengecas kenderaan elektrik

Admin

BAGAN JERMAL – Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyediakan garis panduan untuk membina stesen pengecas kenderaan elektrik di premis seluruh negara.

Beliau berkata, langkah itu adalah penting sebagai persiapan awal agensi keselamatan negara dalam menghadapi transformasi yang begitu penting dalam kehidupan rakyat di negara ini.

Ketua Menteri menyempurnakan gimik perasmian Seminar Keselamatan Kebakaran Peringkat JBPM Negeri Pulau Pinang dekat Butterworth Arena, di sini sebentar tadi.

“Pengecasan kenderaan elektrik merupakan perkara baru di negara kita dan saya dimaklumkan bahawa sehingga kini, Amerika Syarikat sendiri masih belum mempunyai garis panduan mengenai keselamatan pengecas kenderaan elektrik.

“Jadi, syabas saya ucapkan kepada JBPM kerana menjadi agensi yang amat prihati terhadap keselamatan stesen pengecas kenderaan elektrik yang saya percaya akan dilaksanakan di seluruh negara tidak lama lagi,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Seminar Keselamatan Kebakaran Peringkat JBPM Negeri Pulau Pinang dekat Butterworth Arena, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Edwin Galan Teruki dan Pengarah JBPM Negeri Pulau Pinang, Saadon Moktar.

Hampir 900 peserta hadir pada seminar berkaitan.

Difahamkan, hampir 900 peserta seminar yang terdiri dalam kalangan pemilik premis, kontraktor, arkitek, jururunding dan lain-lain agensi yang berkaitan dengan keselamatan kebakaran hadir pada seminar tersebut.

Sebanyak enam kertas kerja merangkumi topik-topik relevan termasuk garis panduan pembinaan stesen pengecas kenderaan elektrik dibentangkan pada seminar tersebut.

 

Pada sidang media selepas itu, Edwin berkata bahawa garis panduan tersebut disediakan untuk memastikan aspek keselamatan kebakaran turut diambil kira semasa pembinaan stesen pengecas kenderaan elektrik di negara ini.

Edwin Galan Teruki.

Beliau menyatakan bahawa garis panduan tersebut telah dikemukakan kepada kerajaan terutamanya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk dinilai sebelum dilaksanakan.

“Perkara ini (penyediaan garis panduan) perlu dilakukan untuk memastikan kenderaan elektrik adalah selamat.

“Kita sudah berbincang serta mendapatkan pandangan daripada pihak-pihak berkaitan di seluruh dunia supaya satu garis panduan jelas disediakan mengenai perkara ini tetapi Malaysia akan memulakannya terlebih dahulu,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & VEKENESVARAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS