Ketua Menteri, ratusan hadiri Rumah Terbuka Deepavali Ramasamy

Admin

BUKIT TAMBUN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow antara ratusan tetamu yang menghadiri Rumah Terbuka Deepavali di kediaman peribadi Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy di Residensi Villa Mutiara 4 dekat sini pada tengah hari tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Sr. Rozali Mohamud; Ahli Majlis MBSP, P. David Marshel dan Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Kit Siang antara tetamu kenamaan utama yang hadir pada acara keramaian tersebut.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Ramasamy menyatakan bahawa Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam sedang mencari ‘modal politik’ dengan menggambarkan negara seolah-olah dalam keadaan huru-hara, demi menjatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan Persekutuan.

Namun, beliau percaya bahawa sikap profesional polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sendiri yang memastikan keharmonian kaum terus dipelihara, walaupun pemimpin UMNO serta Parti Islam Se-Malaysia (PAS) terus memainkan sentimen kaum serta agama.

“Bagi saya, Lokman ini mencari ‘modal politik’, yang mana modal politik pun dia tak ada,” respons Ramasamy yang juga ADUN Perai.

Semalam, Lokman dilaporkan memberitahu bahawa penangkapan beberapa wakil rakyat Pakatan Harapan yang dikaitkan dengan pergerakan Pasukan Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) adalah ‘permulaan’ untuk Tun Dr. Mahathir Mohamad mengekalkan kedudukan sebagai Perdana Menteri.

Tambah Ramasamy, Pakatan Harapan telah ada perjanjian mengenai isu siapa Perdana Menteri, dan elok membincangkan perjanjian yang dipersetujui bersama itu dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam masa terdekad.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD