Ketua Menteri sampaikan sumbangan Aidilfitri kepada asnaf terpilih di Tanjong

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hadir menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 125 asnaf dan miskin terpilih dalam kawasan Parlimen Tanjong dekat Jalan Transfer di sini.

Sumbangan berupa barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, minuman bancuhan, gula dan lain-lain itu disumbangkan oleh Persatuan Muslim Dato’ Koyah (PMDK) bersama-sama Maliia Bakery (M) Sdn. Bhd. dan Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Pengerusi PMDK, Noordin Kowther ketika ditemui berkata, sumbangan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini telah dilaksanakan sejak tahun 2013.

“Setiap tahun, ahli-ahli Persatuan seramai 65 orang akan ‘turun padang’ mencari serta membuat penilaian bagi mencari asnaf miskin serta mereka yang kurang bernasib baik di kawasan Tanjong untuk menerima bantuan atau sumbangan daripada kami,” katanya yang turut menzahirkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada Ketua Menteri kerana sudi meluangkan masa menyampaikan sumbangan berkaitan pada 2 Jun lalu.

Bagi Pengarah Maliia Bakery (M) Sdn. Bhd., M. Kumaresan, pihaknya akan meneruskan usaha murni membantu mereka yang kurang bernasib baik terutama ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Selain sumbangan barangan asas, Kumaresan menyatakan, pihaknya turut menyumbangkan RM2,500 kepada Tabung Harapan Malaysia.

Difahamkan, asnaf miskin terpilih yang hadir pada majlis penyampaian berkaitan turut menerima sumbangan duit raya dan makanan untuk berbuka puasa.

Hadir sama, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A. Thaiveegan yang turut menyantuni penerima.