Exco tertarik bekerjasama dengan FAMA, kaji wujudkan pasar tani kekal

Admin

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB

PERAI – Exco Kesihatan, Pertanian & Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Afif Bahardin berharap Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dapat membantu pemasaran produk jenama Pulau Pinang iaitu ‘Awesome Penang’ ke luar negeri.

Beliau juga berharap agensi Persekutuan itu dapat membantu mewujudkan pasar tani dan pasar tani kekal di negeri ini terutama di kawasan-kawasan yang mempunyai tahap kepadatan penduduk tinggi serta 40 peratus isi rumah keluarga berpendapatan di bawah RM3,900 (B40).

“Pastinya Kerajaan Negeri begitu tertarik untuk bekerjasama lebih rapat dengan pihak FAMA.

“Memandangkan Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang masih belum ada pasar tani kekal, kita akan kaji,” jelasnya selepas melaksanakan lawatan kerja serta mengikuti taklimat khas di Pejabat FAMA Negeri di sini 1 Jun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil dan ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq turut menyertai acara taklimat khas yang disampaikan oleh Pengarah FAMA Pulau Pinang, Habibah Sulaiman.

Afif yang juga ADUN Seberang Jaya menyatakan bahawa pihaknya berhasrat untuk bekerjasama dengan FAMA serta beberapa agensi Persekutuan lain demi meningkatkan lagi produktiviti makanan di Pulau Pinang.

“Selain peringkat pemasaran ini, pada masa sama, kita (Pulau Pinang juga perlu meningkatkan juga jumlah pengeluar, ini pun fokus Kerajaan Negeri untuk kita (Kerajaan Negeri) mewujudkan jaminan bekalan makanan (food security),” katanya.
Tambah beliau, setakat ini, produk-produk jenama ‘Awesome Penang’ rata-rata berasaskan organik, seperti beras perang, memang mendapat permintaan yang tinggi.