Ketua Menteri seru rakyat kekal bertenang, patuh saranan pastikan Perintah Kawalan Pergerakan capai matlamat bendung penularan COVID-19

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menggesa seluruh rakyat Pulau Pinang supaya kekal tenang dan mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang mula berkuat kuasa hari ini.

Pada sidang media yang berlangsung sebentar tadi, Kon Yeow berharap semua rakyat mematuhi dan ‘berkorban’ selama 14 hari bagi menjayakan matlamat perintah tersebut.

“Saya berharap seluruh rakyat Pulau Pinang kekal bertenang, walaupun ia (perintah) memerlukan kesabaran serta ketabahan mental yang tinggi.

“Patuhi segala perintah yang telah dikuatkuasakan, kekal berada di rumah dan sentiasa meningkatkan penjagaan kebersihan diri demi memastikan matlamat (perintah) ini berjaya dicapai.

“Jika pelaksanaan pertama ini gagal, kemungkinan
kerajaan perlu mengenakan tindakan yang lebih ketat dan kita (rakyat) perlu melaluinya,” seru beliau pada sidang media di sini sebentar tadi.

Pada sidang media sama, ketika ditanya berhubung permohonan maaf Ketua Setiausaha Negara (KSN) terhadap kekhilafan isu jemputan Mesyuarat Khas Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi menangani penularan COVID-19 yang berlangsung dekat Kuala Lumpur semalam, Kon Yeow dalam responsnya menyatakan bahawa beliau tidak berminat untuk mengulas lanjut, sebaliknya mahu menumpukan perhatian untuk melawan wabak tersebut.

“Ini bukan isu politik, ini adalah isu kesihatan awam, ia nasib rakyat Pulau Pinang dan masa depan negara, jadi kita mahu menumpukan perhatian untuk melawan wabak.

“Walaupun tidak ada apa-apa arahan dan sebagainya, bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang kita sudahpun mulakan inisiatif sendiri untuk pastikan Pulau Pinang dapat melawan wabak ini dengan berkesan melalui kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP),” responsnya.

Turut serta, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Yeoh Soon Hin (Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan); Dr. Norlela Ariffin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan) dan Teh Lai Heng (Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Komtar).

Serentak itu, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi turut mengumumkan sumbangan 10 kotak Peralatan Perlindungan Diri (Personal Protective Equipment – PPE) berupa jubah pembedahan kepada Hospital Besar Pulau Pinang (HPP).

Penyampaian sumbangan 280 helai jubah pembedahan tersebut merupakan inisiatif khas yang diambil pihak Kerajaan Negeri bagi melindungi wira-wira barisan hadapan dalam melawan wabak pendamik COVID-19.

Menurut Kon Yeow, Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan kepada pihak JKNPP dalam memastikan kelengkapan mencukupi untuk ‘perang’ melawan COVID-19 ini.

“Walaupun sektor kesihatan bukan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, tetapi kita akan terus memberikan sokongan termasuk daripada segi kewangan kepada JKNPP.

“Kami amat menghargai jasa wira-wira barisan hadapan dalam usaha mereka melindungi rakyat Pulau Pinang dan juga rakyat Malaysia,” ulas beliau yang kemudiannya menyerahkan sumbangan berkaitan kepada Ketua Penolong Pengarah (Pengurusan) HPP, M. Surentharan.

Dalam perkembangan sama, difahamkan bahawa mesyuarat pasukan khas COVID-19 semalam telah memutuskan beberapa ketetapan sebagai persediaan sekiranya negeri perlu berhadapan dengan penularan yang semakin serius.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa beliau telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri memastikan agar kesemua ketetapan itu dilaksanakan dengan segera.

“Antaranya, menyediakan kemudahan untuk menghadapi peningkatan kes, penyediaan pusat pengasingan serta pasukan-pasukan petugas perlu diberikan maklumat lanjut sekiranya perlu dikerahkan untuk operasi,” katanya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALVIE CHENG
Video : CHAN KOK KUAN