Ketua Menteri seru rakyat sematkan semangat cintakan negara, kekal harmoni pelbagai kaum

Admin

TANJUNG BUNGA – Semangat cintakan negara perlu sentiasa disematkan dalam setiap jiwa rakyat Malaysia demi mengekalkan keharmonian, rasa saling mengasihi dan bersatu hati dalam kalangan rakyat yang berlainan kaum, agama dan latar belakang.

 

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata, salah satunya adalah dengan mengibarkan Jalur Gemilang yang menjadi simbol semangat cinta terhadap negara.

 

Tidak kira walaupun di mana kita berada, perasaan bangga dengan mengibarkan bendera negara perlu ada dalam diri kita kerana ia adalah nilai yang mampu membangkitkan semangat patriotisme.

 

“Oleh itu, saya menyeru seluruh rakyat negeri Pulau Pinang, sahutlah seruan kerajaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga, tertib dan hormat,” ujarnya.

 

KETUA Menteri turut mengibarkan Jalur Gemilang mengiringi persembahan koir pada majlis berkaitan di sini.

 

Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Pulau Pinang 2022 yang diadakan di Straits Quay dekat sini pada 8 Ogos 2022.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Komunikasi memaklumkan bahawa setelah dua tahun tidak dapat meraikan Bulan Kebangsaan akibat pandemik COVID-19, hari ini ia dapat diraikan semula.

 

“Selari dengan semangat cintakan negara, cintakan negeri kita,  Kempen ❤️PENANG (LovePENANG) yang telah dilancarkan dan Bulan Kebangsaan ini, ia merupakan platform yang amat baik untuk merealisasikan misi serta matlamat menyemai semangat patriotik ini.

 

Diharap dengan lembaran baharu dalam Kempen ❤️ PENANG, ia dapat menyemarakkan lagi semangat rakyat Pulau Pinang terutama pasca pandemik COVID-19 ini.

 

“Oleh itu, segala pengisian dan intipati sepanjang Bulan Kebangsaan ini juga memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej jelas untuk membangkitkan semangat patriotisme dalam sanubari rakyat,” jelasnya.

 

Tambah Kon Yeow, selain melibatkan jabatan dan agensi kerajaan dalam sambutan Bulan Kemerdekaan ini, penglibatan badan bukan kerajaan (NGO), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Persatuan-persatuan Penduduk dan komuniti setempat juga amat digalakkan dalam menjayakan matlamat perpaduan serta semangat patriotisme.

 

“Terutamanya dalam era pasca pandemik ini, semuanya perlu bangkit semula sama ada dari segi ekonomi seperti pendapatan, peluang pekerjaan serta kegiatan sosial serta keagamaan.

 

“Oleh itu, bersama-sama kita raikan Bulan Kebangsaan, dan kibarkan Jalur Gemilang bagi menangani cabaran yang dihadapi sebelum ini,” serunya.

 

Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Pulau Pinang 2022 adalah hasil kolaborasi dan komitmen Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Penerangan Malaysia (Negeri Pulau Pinang) serta jabatan-jabatan, agensi-agensi Persekutuan serta Negeri berkaitan.

 

Hadir sama, barisan Exco Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Norazmi Mohd. Narawi; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd. Zakuan Zakaria; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah; barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli-Ahli Parlimen.

 

Turut serta, Konsul-Konsul Jeneral; Konsul-Konsul Kehormat; Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan, wakil-wakil jabatan dan agensi berkaitan.

 

KETUA Menteri bersama-sama dif kehormat lain menyempurnakan pelepasan konvoi Merdeka yang terdiri daripada kenderaan pelbagai jabatan dan motosikal berkuasa tinggi.

 

Terdahulu, majlis dimulakan dengan perarakan masuk Jalur Gemilang disusuli oleh persembahan koir dari Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang sebelum diteruskan dengan upacara menyempurnakan gimik pelancaran dan penyerahan lebih 1,000 unit Jalur Gemilang pelbagai saiz kepada pengarah serta wakil jabatan dan agensi berkaitan oleh Ketua Menteri.

 

Usai itu, Kon Yeow turut menyempurnakan pelepasan konvoi yang disertai oleh pelbagai jabatan dan agensi berkaitan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR