Ketua Menteri seru wakil rakyat tingkatkan pendidikan CPR, guna AED peringkat komuniti

SUNGAI PINANG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pagi ini menyeru semua Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pemimpin tempatan supaya terus melaksanakan program pendidikan asas bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dengan penggunaan Automated External Defribillator (AED) di Pulau Pinang.

Semasa berucap, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim atas sumbangan RM15,000 untuk pemasangan dua unit baharu AED demi memenuhi keperluan penduduk setempat.

“Sejak dilancarkan pada tahun 2015, terdapat sebanyak 66 mesin AED telah dipasang dan ditempatkan di tempat-tempat awam terpilih, dan sehingga kini alat ini telah membantu menyelamatkan empat nyawa.

“(Pun begitu,) jangan terlalu mengharapkan pemasangan AED sebab ia tidak akan dipasang di setiap inci tempat, (sebaliknya) langkah terbaik adalah dengan mengamalkan gaya hidup sihat untuk mencegah (risiko) serangan jantung,” jelasnya pada penganjuran Majlis Pelancaran Alat AED dekat Taman Bukit Dumbar di sini 17 April 2021.

Selain itu, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong merangkap ADUN Padang Kota turut menjelaskan bahawa secara umum kira-kira 40 peratus kes serangan jantung adalah berpunca daripada paras kolestrol yang tinggi dalam badan, sementara sebab-sebab lain antaranya adalah tekanan hidup.

Berucap sebelum pada itu, Siew Khim memberitahu bahawa satu unit AED dipasang di Taman Bukit Dumbar, sementara satu unit lain akan diserahkan kepada Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) di bawah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Pinang.

Turut berucap, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa; wakil-wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Serentak pada majlis sama, turut dilangsungkan sketsa dan demonstrasi pelaksanaan CPR serta penggunaan AED yang dipimpin oleh anggota APM terlatih.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : CHAN KOK KUAN