Ketua Menteri sifatkan majlis tahlil sebagai kemenangan menentang keganasan

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyifatkan bahawa himpunan aman (majlis tahlil) anjuran India Muslim Community Organization Malaysia (iMcom) bersama-sama Jawatankuasa Masjid Kapitan Keling sebagai satu kemenangan menentang keganasan.

“Kita mahukan perhimpunan malam ini menjadi contoh bahawa kita tidak akan menentang keganasan dengan cara yang lebih ganas, tetapi dengan majlis yang aman.

“Majlis doa (tahlil) ini, saya sifatkan bahawa kita telah menang segala-galanya, kita menentang keganasan dengan penuh berhemah dan aman damai,” ujarnya dalam satu sidang media sejurus tamat majlis tahlil memperingati 49 mangsa tembakan rambang di dua masjid dekat Christchurch, New Zealand Jumaat lalu.

Insiden malang tersebut turut melibatkan kecederaan dalam kalangan rakyat Malaysia dan Pulau Pinang.

Hadir sama, Pengerusi Masjid Kapitan Keling, Datuk Meera Mydin Mastan;
Imam Masjid Kapitan Keling, Ustaz Abdullah Bukhari dan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agama selain Islam.

Kon Yeow ketika berucap turut menyatakan bahawa majlis tahlil yang dianjurkan itu merupakan satu cara menunjukkan keprihatinan kepada pihak keluarga mangsa-mangsa yang terkorban mahupun tercedera dalam insiden malang tersebut.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota dalam pada itu turut percaya bahawa insiden yang berlaku bukan sahaja menghantui mangsa, malah juga keluarga mangsa, masyarakat New Zealand bahkan (masyarakat) dunia sendiri.

“Kita juga selalu bertanya bilakah insiden seperti ini akan berhenti, tetapi hasrat itu selalu tidak menjadi realiti kerana sudut dunia ini ada manusia-manusia yang terpesong dan mengambil tindakan yang kita tidak dapat terima,” katanya.

Meera Mydin ketika mengulas lanjut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri dan 200 hadirin yang sanggup hadir ke majlis tahlil berkenaan.

Atas keperihatinan Kerajaan Negeri, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh serta ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz turut bersama-sama ahli keluarga mangsa ke Christchurch Ahad lalu.

Boon Poh dan Azrul Mahathir dijangka sampai ke Pulau Pinang malam esok.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : CHAN KOK KUAN