Ketua Menteri sumbang RM50,000 kepada PPDK Permatang Damar Laut

Admin

BATU MAUNG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengumumkan sumbangan peruntukan berjumlah RM50,000 kepada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Permatang Damar Laut tadi.

Menurutnya, sumbangan tersebut adalah bagi membolehkan pihak berkaitan melaksanakan kerja-kerja naik taraf, pembelian alat-alat yang dapat membantu kanak-kanak istimewa di pusat berkaitan.

Serentak itu, Kon Yeow turut menyatakan bahawa beliau akan membawa cadangan serta permohonan elaun tambahan kakitangan PPDK yang disuarakan pengerusinya, Fatimah Kader Bacha ke peringkat perbincangan Exco kelak.

“Saya akan bawa balik perkara ini untuk perbincangan dengan barisan Exco, dan akan menerima pandangan daripada Puan Pengarah (Fatimah) sendiri untuk melihat peranan yang boleh dimainkan oleh Kerajaan Negeri bagi menambah (top-up) jumlah elaun sedia ada yang diberi oleh pihak Persekutuan kini.

“Sementara menunggu keputusan pihak Persekutuan untuk memenuhi apa yang diperjuangkan di peringkat Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kerajaan Negeri boleh mempertimbangkan cadangan untuk top-up berdasarkan jumlah elaun yang dipersetujui,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota sejurus sesi lawatan khas yang diadakan di sini.

Hadir sama pada lawatan tersebut ialah isteri kepada Ketua Menteri, Puan Tan Lean Kee; Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’Abdul Halim Hussain merangkap ADUN Batu Maung; Ahli Parlimen Bayan Baru merangkap Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin.

Turut serta, Pegawai Daerah bagi Daerah Barat Daya (DBD) Mohd. Hafiz Aswad Nadzri; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pulau Pinang, Shaballah Zainal Abidin dan wakil JKM Barat Daya, Yusmin Nordin.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa proses tambahan elaun atau top-up sebagaimana dicadangkan itu pernah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sebelum paras permohonan baharu tersebut diluluskan di peringkat Pusat.

“Ini adalah bagi memastikan paras gaji penyelia serta kakitangan PPDK di Pulau Pinang dapat mencapai tahap tertentu, dan secara tidak langsung dapat menarik mereka yang ingin berkhidmat di dalam pertubuhan ini,’’ jelasnya yang juga Exco bagi Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Pengangkutan & Komunikasi.

Terdahulu, Fatimah memberitahu bahawa elaun bersih yang diterima kakitangan PPDK kini cuma berjumlah RM705 setelah dibuat penolakan bagi tujuan caruman.

“Kita mahu Pulau Pinang menjadi nombor satu sekiranya hasrat ini dipenuhi. Difahamkan kini cuma petugas PPDK di negeri Johor sahaja yang memperoleh peruntukan tambahan RM400, justeru kalau boleh, Pulau Pinang kita lebih daripada itu dan menjadi nombor satu,” katanya lanjut.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

Video : DARWINA MOHD. DAUD