Ketua Menteri tanam harapan Datuk Bandar MBSP baharu terus pastikan Seberang Perai kekal bersih dan hijau

Datuk Bandar MBSP baharu semasa kunjungan hormat bertemu Ketua Menteri (kanan) di Komtar pada pagi ini.

GEORGE TOWN – Dato’ Azhar Arshad yang baru dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berkuat kuasa 1 Januari 2022, pada pagi ini mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar.

Dalam pertemuan kira-kira setengah jam tersebut, Kon Yeow menyampaikan harapan agar MBSP pada masa hadapan terus memperbaiki tanggungjawab terasnya iaitu memastikan bandar raya Seberang Perai kekal bersih dan hijau serta meningkatkan lagi daya huni penduduk lokal.

Di samping itu, beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berharap agar pentadbiran Azhar dapat menangani cabaran utama iaitu kedudukan kewangan pada peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

“Memang dasar Kerajaan Negeri sejak dahulu menyediakan peluang pekerjaan untuk kerja-kerja pembersihan, maka kita (MBSP) boleh menguruskan semua sumber tenaga sepenuhnya.

“Macam beberapa kawasan yang dilanda bencana (banjir besar) sekarang, kalau penyumberluaran (outsourcing) dalam kerja-kerja perkhidmatan pembersihan, mungkin susah untuk kerah (syarikat bukan kerajaan) untuk melaksanakan kerja-kerja pemulihan pasca bencana.

“Lagipun, MBSP merupakan PBT paling besar di Malaysia, kakitangan MBSP lebih 4,000 orang (termasuk ‘Wira Oren’)…saya berharap pihak Datuk (Azhar) dapat menangani cabaran utama peringkat pengurusan MBSP iaitu daripada segi kedudukan kewangan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong di sini tadi.

Selain itu, Kon Yeow memberitahu bahawa beliau yakin Azhar cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja yang baharu di MBSP berbekalkan pengalaman dalam pelbagai sektor perkhidmatan awam sebelum ini.

“Sebagaimana Dato’ Sr. Rozali Mohamud (mantan Datuk Bandar MBSP) telah meletakkan pelbagai KPI (Petunjuk Prestasi Utama), jadi yang mana sesuai diteruskan, wajar diteruskan (sementara) jika perlu penambahbaikan, Dato’ (Azhar) boleh melakukannya,” ujarnya sambil berharap pentadbiran MBSP dapat terus membumikan segala dasar hijau ke peringkat akar umbi komuniti lokal.

Sebelum pada itu, Azhar menzahirkan penghargaan atas kepercayaan Kerajaan Negeri melantik beliau menjadi Datuk Bandar MBSP yang baharu.

“Dengan pengalaman sebelum ini, berlandaskan kepercayaan daripada Ketua Menteri serta sokongan Y.A.B. Ketua Menteri juga, saya harap boleh buat yang terbaik (sebagai Datuk Bandar MBSP),” ulasnya.

Sebelum dilantik sebagai Datuk Bandar MBSP, Azhar merupakan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN