Mohd. Bazid serah tugas ‘teraju’ PDC kepada Aziz

GEORGE TOWN – Perbadanan Pembangunan Negeri Pulau Pinang (PDC) akan terus memainkan peranannya dalam mentransformasikan pembangunan mampan di Pulau Pinang.

 

Mantan Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Mohd. Bazid Abd. Kahar berkata bahawa PDC kini berada pada landasan yang betul selaras dengan hala tuju digariskan di bawah Pelan Strategik PDC.

 

Banyak perubahan telah dilakukan oleh PDC ke arah memastikan pembangunan mampan untuk negeri Pulau Pinang, begitu juga tahap efisiensi dalam sistem penyampaiannya.

 

“Saya yakin pimpinan baharu PDC akan terus membawa Pulau Pinang ke arah kecemerlangan,” ujarnya sejurus selesai upacara penyerahan Nota Serah Tugas Ketua Pegawai Eksekutif PDC di Komtar pada 4 Januari 2022.

 

Terdahulu, Mohd. Bazid menyempurnakan Nota Serah Tugas Ketua Pegawai Eksekutif PDC kepada Aziz Bakar yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kanan PDC di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow disusuli dengan bacaan ikrar serahan.

 

AZIZ Bakar.

Usai serahan, Aziz melafazkan akujanji sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PDC yang baharu di hadapan Kon Yeow sambil disaksikan oleh Pengurus Bahagian Khidmat Pengurusan PDC, Sabarul Aswadi Abd. Jalil dan Pengurus Kanan Bahagian Perindustrian PDC, Abdul Latiff Abdul Aziz.

 

Dalam pada itu, Kon Yeow menzahirkan penghargaan kepada Mohd. Bazid atas khidmat bakti yang dicurahkan sejak menerajui PDC pada Februari 2019.

 

Malah, Kon Yeow yang merupakan Pengerusi Ahli Lembaga PDC turut mengucapkan ucapan tahniah kepada Aziz atas pelantikan tersebut.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR