Ketua Menteri terima kunjungan hormat Jabatan Penerangan Malaysia, Putrajaya

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sebentar tadi menerima kunjungan hormat Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Putrajaya di pejabatnya dekat Komtar, di sini.

Delegasi berkenaan diketuai Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd. Sukari Abd. Hamid yang tiba kira-kira jam 4:50 petang sambil disambut Pengarah Komunikasi Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Yap Lee Ying.

Turut serta, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Perhubungan Masyarakat JaPen, Hashim Bedu dan Haniezaida Hassan (Penolong Pengarah Cawangan PKPM Jabatan Penerangan Malaysia Pulau Pinang).

Dalam pertemuan kira-kira 30 minit tersebut, selain bertukar-tukar pendapat, turut menjadi topik perbincangan utama ialah rancangan penubuhan Komuniti Harapan Malaysia (KHM) di peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Pulau Pinang.

KHM ialah badan bukan kerajaan (NGO) yang bakal bertindak sebagai rangkaian rakan strategik JaPen di peringkat akar umbi bagi mengukuhkan jaringan komunikasi serta kerjasama antara rakyat pelbagai kaum.

Pertemuan tersebut diakhiri dengan pemberian beberapa naskah buku terbitan JaPen kepada Kon Yeow.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD