Persatuan Bekas Pengakap PP harap jalin kerjasama lebih erat bersama KN demi lahir belia bertanggungjawab

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat Persatuan Bekas Pengakap Negeri Pulau Pinang dekat pejabat beliau di Komtar, sebentar tadi.

Delegasi seramai lapan anggota tersebut diketuai Pengerusinya yang juga mantan Pesuruhjaya Pengakap Negeri Pulau Pinang, Datuk Lim Eng Ghee.

Turut serta, Timbalan Pengerusi, Ong Jin Leong; Setiausaha, Lim Beng Poh; Pesuruhjaya Negeri Bersara, Datuk Khoo Yeoh Gan dan Yeoh Peng Heng.

Selain mengucapkan tahniah di atas pelantikan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri, pertemuan selama 35 minit itu turut membincangkan mengenai peranan dan khidmat yang disumbangkan oleh Persatuan berkenaan kepada masyarakat di negeri ini terutama golongan belia.

Eng Ghee memberitahu, Persatuan Bekas Pengakap Pulau Pinang yang ditubuhkan pada 20 Oktober 2010 sehingga kini giat menganjurkan perkhemahan untuk kumpulan belia di negeri ini.

Bagaimanapun, menurut beliau, pihaknya kini berdepan masalah untuk mendapatkan tapak bagi aktiviti perkhemahan memandangkan beberapa kawasan perkemahan sedia ada sebelum ini telah ditutup.

“Kami amat berharap agar Kerajaan Negeri dapat mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk dijadikan sebagai tapak perkhemahan untuk belia termasuk di kawasan bandar.

“Harapan kami agar dapat menjalinkan kerjasama lebih erat bersama-sama Kerajaan Negeri pada masa akan datang bagi melahirkan belia yang bertanggungjawab dan bersatu padu,” ujarnya.

Justeru, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri akan berusaha mengenal pasti kawasan-kawasan sesuai di bahagian pulau untuk dijadikan sebagai tapak perkhemahan demi manfaat golongan belia di negeri ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD