Ketua Menteri terima kunjungan hormat Menteri Besar Kedah

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di pejabatnya di Komtar.

Delegasi Mukhriz tiba di Komtar sekitar 5:15 petang dan disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus bersama-sama barisan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Turut sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa.

Pertemuan tertutup yang berlangsung selama satu setengah jam itu antara lain membincangkan mengenai hubungan dua hala antara Pulau Pinang dan Kedah.

PERTEMUAN tertutup diadakan di Pejabat Ketua Menteri di Komtar.

Turut disentuh adalah isu berkaitan kawasan tadahan air dan pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Ulu Muda dan cadangan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Sidam Kiri, Daerah Kuala Muda, Kedah.

Sebagai rekod, pertemuan tersebut merupakan yang pertama di antara kedua-dua pemimpin itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

Malah, ia juga menunjukkan komitmen tinggi daripada kedua-dua pimpinan negeri untuk terus mengukuhkan lagi kerjasama sekaligus memberi manfaat untuk dinikmati baik Pulau Pinang mahupun Kedah.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD