Ketua Pengarah Keselamatan Negara, MKN puji komitmen dan usaha Pulau Pinang hadapi COVID-19

GEORGE TOWN – Isu berkaitan pengurusan COVID-19 dan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini merupakan antara topik perbincangan yang dibangkit pada sesi kunjungan hormat Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad ke atas Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

 

 

Turut mengiringi, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar; Pengarah MKN Negeri Pulau Pinang, Nazrul Fazami Mohamad serta pegawai-pegawai kanan berkaitan.

 

(Dari kiri); NAZRUL Fazami Mohamad; Rodzi Md. Saad; Ketua Menteri dan Abdul Razak Jaafar pada pertemuan di Komtar pagi ini.

 

Dalam pertemuan selama 30 minit di Pejabat Ketua Menteri, Bangunan Komtar, Rodzi antara lain turut menzahirkan pujian atas komitmen dan segala usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pentadbiran Kon Yeow dalam pengurusan COVID-19 termasuk pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) pada semua peringkat masyarakat.

 

 

Bersesuaian dengan tema yang dipilih ‘Penang Lawan COVID-19’, saya merasakan ia membawa semangat kebersamaan antara Kerajaan Negeri dan rakyat Pulau Pinang dalam melawan COVID-19.

 

 

“Saya percaya dengan kepimpinan dan profesionalisme yang ditonjolkan (oleh pentadbiran Kerajaan Negeri) akan mengukuhkan lagi usaha dalam mengendalikan krisis kesihatan ini,” katanya yang juga menghargai kesediaan Kerajaan Negeri dalam memastikan keselamatan rakyat sepanjang tempoh pandemik di sini sebentar tadi. 

 

 

Malah, beliau berharap pertemuan kali ini menjadi platform dalam menjalinkan kerjasama strategik termasuk dalam memperkasakan masyarakat dengan kefahaman dan kesedaran mengenai isu-isu pembudayaan normal baharu, kesihatan serta keselamatan awam.

 

 

Menyentuh mengenai isu PATI pula, Rodzi memaklumkan bahawa pihaknya kini dalam persiapan merangka gerak kerja dan butiran lanjut melibatkan pengurusan keselamatan untuk dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

 

 

“Isu keselamatan merupakan isu yang berterusan maka perlunya kesiapsiagaan semua agensi berkaitan dalam mengendalikan isu ini.

 

 

“Malah, agensi berkaitan juga perlu mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang jelas sebagai panduan dalam pengendalian isu-isu berkaitan keselamatan,” jelasnya.

 

 

Dalam pada itu, Kon Yeow menyatakan bahawa pandemik COVID-19 memberikan cabaran dan pengalaman baharu terhadap pentadbiran negeri.

 

 

Situasi (pandemik) ini telah memberikan pengajaran kepada semua pihak bahawa SOP amat penting dan perlu jelas dalam menangani (penularan) COVID-19.

 

 

“(Peranan) Kerajaan Negeri adalah untuk mencari penyelesaian dalam memastikan kepentingan dan keselamatan rakyat Pulau Pinang sentiasa menjadi keutamaan,” ujarnya yang turut menzahirkan penghargaan kepada MKN dalam membantu Kerajaan Negeri menguruskan situasi semasa pandemik.

 

 

Akhir sesi perbincangan, kedua-dua pihak saling bertukar-tukar cenderamata sebagai tanda kenang-kenangan.

 

 

Difahamkan, ini merupakan pertemuan rasmi pertama Kon Yeow bersama-sama Rodzi selepas dilantik sebagai Ketua Pengarah Keselamatan Negara pada 15 Julai 2021.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD