Keunikan MKK tarikan dunia

Admin

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : LAW SUUN TING

MASJID Kapitan Keling.
MASJID Kapitan Keling.

PENGARUH arkitektual Moorish yang memperlihatkan senibina menyerupai Istana Taj Mahal merupakan tarikan utama Masjid Kapitan Keling (MKK) yang tersergam indah di Lebuh Pitt atau Jalan Kapitan Keling, Pulau Pinang.

Merupakan masjid tertua di bandar George Town, sejak tahun 1995, pintu MKK sentiasa terbuka untuk lawatan pengunjung dari dalam dan luar, tanpa mengira seseorang itu penganut agama Islam ataupun sebaliknya.

KEINDAHAN senibina dalaman.
KEINDAHAN senibina dalaman.

Menurut fakta sejarah, MKK dibina oleh tentera Syarikat India Timur apabila mereka tiba di Pulau Pinang pada akhir abad ke – 18. Memandangkan penduduk India Muslim di Pulau Pinang ketika itu kian bertambah, sebuah masjid adalah diperlukan.

Justeru, seorang ketua kaum India Muslim, Caudeer Mohudeen yang dikenali sebagai Kapitan Kling telah memohon tanah untuk pembinaan masjid yang baru. Pembinaan masjid tersebut dimulakan pada November 1801 setelah pihak berkenaan berjaya memperoleh tanah yang diperlukan.

Selepas kematian Cauder pada 1834, tanah asal tidak lagi diiktiraf sebagai sebahagian daripada pemberian asal, malah, jalan-jalan awam dan rumah-rumah di sekeliling masjid telah dibina dan mengurangkan keluasan tanah masjid kepada hanya lapan ekar pada tahun 1903.

Umumnya, masjid yang ada kini telah dibina pada 1916 bagi menggantikan bangunan yang lama.

CORAK unik yang menjadi hiasan dalaman.
CORAK unik yang menjadi hiasan dalaman.

Menurut Ketua Biro Dakwah MMK, Kamarudin Abdullah, selain keunikan senibina, sesiapa sahaja boleh memasuki MKK untuk tujuan lawatan. Apa yang penting adalah seseorang itu perlu berpakaian sopan. Walau bagaimanapun, bagi kemudahan pelancong luar negara khususnya, pihak masjid menyediakan skaf dan kain untuk para pelancong yang memerlukannya.

“Malah, bagi memberi gambaran lebih jelas mengenai MKK dan agama Islam, perkhidmatan pemandu pelancong turut disediakan pada setiap lawatan tanpa perlu membuat sebarang tempahan awal,” katanya kepada Buletin Mutiara (BM) di sini.

Turut menemani wawancara BM pada hari tersebut adalah Setiusaha MKK, Sirajudeen W.M. Ahmad Varusai dan Pegawai Dakwah, Lokman Madinah.

KAMARUDIN Abdullah.
KAMARUDIN Abdullah.

Tambah Kamarudin, beliau masih mengingati ungkapan seorang pelancong luar negara menyatakan bahawa Pulau Pinang merupakan sebuah lokasi paling tenteram dan aman di dunia.

“Saya amat bersetuju dengan ungkapan tersebut, Contohnya, di atas satu jalan yang sama, selain MKK, turut tersergam adalah gereja, kuil Hinda dan Cina. Inilah nilai keharmonian yang dapat ‘jual’ Pulau Pinang di mata dunia,” jelasnya.

Melihat kepada kubah berbentuk menara melambangkan senibina Islam yang dipengaruhi unsur-unsur dari India, Kamarudin menyatakan bahawa pihak jawatakuasa masjid hanya membenarkan orang ramai memasuki bahagian tersebut pada sambutan perayaan khas.

“Contohnya, pada tahun ini, MKK merupakan sebahagian daripada penganjuran Festival George Town 2011. Bersempena dengan sambutan tersebut dalam tempoh sebulan, kami menerima jumlah pengunjung kira-kira 4,000 orang,” ujar Kamarudin sambil menjelaskan bahawa MKK dapat menampung 1,500 jemaah yang ingin menunaikan sembahyang Jumaat.

TEMPAT mengambil air wuduk.
TEMPAT mengambil air wuduk.

INFO :

  • Dibuka setiap hari kecuali Ahad

  • Dibuka dari 12 tengah hari – 5 petang