Kita tidak diberi hak musnahkan alam -Sim

Oleh: YAP LEE YING
Gambar : BULETIN MUTIARA/ESCAPE

SEBAGAI ‘orang baru’dalam industri pelancongan tempatan, Taman Tema Escape (Escape) yang terletak di Teluk Bahang tidak terkecuali menghadapi cabaran yang berkait rapat dengan amalan rasuah.

Lebih dikenali dengan istilah ‘rasuah pelancongan’, krew Buletin Mutiara tertarik untuk mendalami isu tersebut apabila ia diketengahkan oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Escape, Sim Choo Kheng pada Majlis Ulang Tahun Pertama Taman Tema Escape dan Upacara Pecah Tanah Pembinaan Escape Fasa II tahun lalu.

Sudah lali

Mengulas lanjut, Choo Kheng atau lebih selesa dengan panggilan Sim menyatakan bahawa sejak bergelumang dalam industri pelancongan dalam tempoh 23 tahun, beliau sudah lali dengan tindakan isu memberi rasuah kepada orang ketiga bagi membawa pelancong ke sesebuah lokasi pelancongan.

“Amalan tersebut lazimnya berlaku dalam mentaliti negara-negara ketiga dan saya secara peribadi mendapati ia adalah fenomena yang amat sedih.

“Majoriti pihak yang terlibat dalam industri pelancongan tidak bersetuju dengan saya. Malah, sentiasa menyatakan bahawa saya akan kalah dalam ‘perjuangan’ ini kerana hanya saya seorang yang menentang ia,’’ katanya.

Bercerita lebih lanjut, ekoran prinsip Escape yang hanya memberi diskaun sah kepada operator pelancongan serta agen dan sama sekali tidak akan memberi rasuah atau ‘duit rokok’, pelancong, pembekal atau rakan-rakan luar negara yang ingin mengadakan lawatan ke taman tema tersebut sering dibawa ke lokasi pelancongan lain.

Mengulas lanjut, Sim menegaskan bahawa rasuah bukan cara untuk meningkat dan memperkembangkan industri pelancongan tempatan. Sebaliknya, lokasi-lokasi pelancongan perlu meningkatkan perkhidmatan masing-masing dengan menghasilkan produk yang lebih baik.

“Memiliki pemikiran bertaraf antarabangsa, janganlah jadi jaguh kampung sahaja, Pulau Pinang tidak lagi bersaing dengan Melaka ataupun Langkawi, sebaliknya, Bali, Dubai, Gold Coast dan lain-lain,’’ nyata beliau.

Sim memberitahu, banyak lokasi pelancongan akan gulung tikar sekiranya amalan rasuah berterusan dan juga mengharapkan pihak ketiga membawa masuk pelancong. Ini kerana, pihak-pihak operator terbabit tidak akan menjalankan ‘kerja rumah’ masing-masing untuk memperbaiki perkhidmatan sedia ada.

Tahukah anda bahawa lokasi pelancongan tempatan memberi habuan sebanyak 40 peratus kepada pihak-pihak terbabit.

“Kenapa kita menerima rasuah sebagai satu budaya?

“Hanya pihak yang tidak mampu bersaing berdasarkan merit akan mengguna taktik merasuah dan sistem kronisme bagi meraih bilangan pelancong yang banyak secara ‘jalan belakang’,’’ tegas beliau yang merupakan anak jati Pulau Pinang.

Justeru, beliau menyeru kepada semua penggiat industri pelancongan di sini (Pulau Pinang) untuk tampil dan menyokong Ikrar Integriti Pelancongan yang bakal diwujudkan Kerajaan Negeri bagi menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama di Malaysia yang bebas penipuan serta rasuah dalam sektor pelancongan.

Tambah beliau yang sentiasa berbangga dengan negeri kelahirannya, peneraju-peneraju industri pelancongan tidak seharusnya menutup sebelah mata berhubung isu berkenaan.

Ini kerana, selain imej, ia turut melahirkan persaingan tidak sihat dalam industri sendiri.

“Betapa bagusnya seseorang peneraju dalam industri ini (pelancongan) adalah berdasarkan keupayaan dan kreadibiliti sendiri.

“Jangan takut diboikot hanya kerana melakukan sesuatu yang betul. Escape membuktikan bahawa kami mampu bersaing secara kompetitif tanpa menghulurkan rasuah kepada pihak-pihak tertentu,’’ tegas Sim.

Falsafah Escape

Escape sebagaimana nama panggilannya menjanjikan keseronokan dan ‘kebebasan’ kepada setiap pengunjung yang bertandang.

Melangkah memasuki pintu masuk Escape adalah menyerupai kembali semula ke zaman kanak-kanak di kampung tanpa dibuai arus pembangunan.

“Saya dibesarkan dalam suasana yang sentiasa berhubung rapat dengan alam. Yang mana, alam dan manusia berkait dan saling bergantungan untuk hidup.

“50 tahun lalu, kita (manusia) tidak menebang pokok kerana kita (manusia) memerlukan ia.
Kita (manusia) tidak mencemari sungai kerana kita (manusia) perlukannya.

“Tapi kini, kita telah pergi terlalu jauh dan ‘kejam’ dengan alam sekitar. Tiada sesiapa yang memberi hak kepada kita untuk memusnahkan alam,’’ tegas beliau.

Jelas Sim, Escape adalah sebuah taman tema yang dibangunkan dengan teknologi ringkas tapi menjanjikan tahap keseronokan optimum terutamanya kepada keluarga.

“Sebagaimana taman-taman tema lain, Escape tidak ingin muncul sebagai (taman tema) yang terpanjang, terbesar, tertinggi mahupun terluas. Kita tidak mahukan mentaliti angkuh sebegini, tetapi, kita (Escape) ingin dikenali sebagai taman tema yang memberi lebih ‘smiles per ringgit’ yang dibelanjakan.

“Kita (Escape) ingin menawarkan sesuatu yang ringkas, berkait dengan alam, mempromosikan kesedaran terhadap alam sekitar dan paling utama adalah mereka suatu persekitaran menyamai keadaan yang pernah didiami nenek moyang kita sebelum ini,’’ ujar
beliau.

Kembali

Sim Leisure Group yang lebih dikenali sebagai pereka taman-taman tema terkenal seluruh dunia dan beribu pejabat di Dubai, Sim menyatakan bahawa adalah menjadi impian dirinya untuk kembali menabur bakti di negeri kelahiran Pulau Pinang.

Dikurniakan tiga cahaya mata, buat pertama kali, beliau mengambil cabaran dengan nilai pelaburan RM18 juta (hingga kini) untuk membangunkan Escape.

“Faktor yang turut mendorong saya berbuat demikian adalah hasrat Kerajaan Negeri untuk mewujudkan sebuah taman tema eko yang mana menepati impian saya sendiri,’’ jelasnya.

Keselamatan

Bercerita mengenai aspek keselamatan, Sim menyatakan bahawa ia amat diutamakan pihaknya.

Pemeriksaan peralatan pengunjung serta permainan dijalankan pada setiap hari sebelum taman tema dibuka untuk setiap hari.

Malah, beliau turut menyatakan bahawa peralatan digunakan adalah yang paling mahal dan terdapat auditor dari Perancis yang diupah khas untuk mengaudit peralatan-peralatan digunakan.

Peluang kerja

Sejak dibuka dalam tempoh setahun lalu, 70 peratus daripada kakitangan Escape merupakan penduduk tempatan terutamanya dari Balik Pulau, Batu Feringghi dan Teluk Bahang di sini.

“Latihan dari semasa ke semasa didedahkan kepada mereka (kakitangan) bagi meningkatkan kecekapan sedia ada,” kata Sim sambil menyatakan bahawa taman tema air Escape yang menggunakan pendekatan air hujan bakal dibuka kepada pengunjung menjelang pertengahan tahun ini.

Maklumat lanjut, sila layari escape.my.