Mee Segera MyKuali, bawa imej negeri

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB


BUKIT TENGAH – Makanan segera mee kari putih jenama MyKuali walaupun diperkenalkan pada Mei tahun lepas (2013), tetapi jualannya di seluruh negara telah pun mencecah 50,000 bungkus dengan catatan pulangan kasar kira-kira RM1.5 juta tiap-tiap bulan sehingga November tahun sama.

Perkembangan terbaru itu mendorong Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng melawat operasi kilang tersebut, Sky Thomas Food Industries Sdn. Bhd. di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak di sini baru-baru ini.

“Bukan sahaja syarikat ini begitu muda, tetapi, diterajui oleh orang muda juga. Kerana itu, ia lebih cepat maju di pasaran antarabangsa daripada usianya,” ujarnya selepas melawat operasi kilang baru itu.

Pengasas merangkap Pengurus Pemasaran Sky Thomas Food Industries Sdn. Bhd., Thomas Tang turut berucap pada majlis yang
dihadiri hampir 100 tetamu.

Hadir sama, Ahli Parlimen Tanjong merangkap Setiausaha Politik bagi Ketua Menteri, Ng Wei Aik dan Ong Chin Wen (Ahli Dewan
Undangan Negeri Bukit Tengah).

Menurut Guan Eng, mee kari putih sekian lama sudah menjadi sebahagian identiti Pulau Pinang.

Justeru, katanya lagi, jenama MyKuali yang berjaya menembusi Singapura, Taiwan, Hong Kong dan United Kingdom sekaligus akan membawa imej negeri ini.

Satu laporan dalam Wall Street Journal pada 20 Disember tahun lepas dipetik, Persatuan Mee Segera Dunia mendedahkan, permintaan pada makanan mee segera melebihi 100 juta mangkuk pada tahun lepas.

Dalam 42 negara yang disenaraikan sebegai pengeluar mee segera, China dan Hong Kong lebih ke depan, diikuti Indonesia dan Jepun. Manakala, Malaysia berada pada tangga ke-13.

Dalam satu kajian popular oleh bloger mee kari terkenal, Ramen berkata, mee kari putih Pulau Pinang jenama MyKuali berada pada tangga ketujuh dari 10 mee paling lazat dunia bagi tahun 2013.

Laporan sama yang dipetik turut menyebut bahawa MyKuali dijangka akan menembusi pasaran Eropah dan Amerika Syarikat pada
tahun ini.

Pengulas mee Amarika Syarikat, Hans Lienesch pula dalam satu laporan lain pada bulan Ogos lepas memberi penarafan lima bintang pada kelazatan mee kari putih Pulau Pinang jenama MyKuali.

Sebelum itu, Thomas Tang berkata, 60 peratus produk  MyKuali untuk pasaran domestik, manakala, selebihnya ke pasaran global.

“Bagaimanapun, kita giat memperluaskan pasaran tempatan bermula tahun ini (2014). Produk ini sudah boleh didapati di Giant, Gama, Sunshine dan gedung-gedung pasar raya lain.

“(Makanan mee segera) ini sebenarnya sudah biasa bagi pengguna. Tinggal lagi, kami berharap ia (MyKuali) ini akan mengambil tempat sebagai makanan segera untuk pekerja -pekerja Pulau Pinang di serata dunia,” ujarnya.

Pada majlis itu, Thomas Tang turut melancarkan dua lagi produk makanan segera yang baru MyKuali, iaitu Mee Kari Undang Pulau Pinang dan Mee Tomyam.