GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang kekal dengan pendirian untuk menunggu sebarang tuntutan rasmi daripada Kerajaan Negeri Kedah sebelum memberikan sebarang maklum balas lanjut.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Kedah menerusi siaran podcast pada Selasa lalu bahawa pihaknya telah melengkapkan semua dokumen sejarah, kajian dan asas perundangan berkaitan tuntutan semakan kadar bayaran pajakan Pulau Pinang, dan kini hanya menunggu masa yang sesuai untuk bergerak ke fasa seterusnya.
Menurut Kon Yeow, sehingga kini Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih belum menerima sebarang tuntutan rasmi, justeru adalah terlalu awal untuk beliau mengulas mengenai perkara tersebut.
Ini bukan kali pertama saya menjawab, dan jawapan saya adalah sama iaitu kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) akan tunggu.
“Kita tidak tahu apa tuntutan tersebut, jadi agak premature (terlalu awal) untuk saya ulas.
“Kita tunggu perkara yang dituntut tersebut, dan akan memberi maklum balas selepas menerima tuntutan tersebut sama ada ia dihantar ke mahkamah ataupun Kerajaan Negeri,” ujarnya.
Dalam laporan media berkaitan, Menteri Besar Kedah turut menyatakan bahawa segala persediaan berhubung tuntutan itu telah disempurnakan oleh pasukan penyelidik serta perundangan negeri selepas melalui proses kajian yang menyeluruh, dan hasil kajian tersebut turut dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta mendapat persetujuan untuk dijadikan asas kepada tuntutan berkenaan.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : LAW SUUN TING