KKM buat penilaian risiko jika ada permintaan tutup sekolah, respons Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat penilaian risiko berdasarkan kes positif COVID-19 harian di sekolah, sungguhpun ada permintaan daripada ibu bapa untuk menutup sesi persekolahan secara bersemuka.

Serentak itu, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow turut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri juga telah berbincang serta menyatakan begitu banyak perkara dan masih menunggu keputusan selanjutnya daripada kementerian berkaitan.

“Ini termasuk membuat pertimbangan berhubung cadangan ibu bapa supaya sekolah atau institusi pendidikan yang mempunyai kes positif COVID-19 diumumkan kepada khalayak.

“Kes-kes yang melibatkan institusi pendidikan telah menimbulkan perhatian ibu bapa sama ada institusi pendidikan ini adakah ianya akan ditutup memandangkan ada kes-kes. Saya rasa memang ada institusi pendidikan yang ditutup apabila ada kes yang berlaku, jadi, ini tidak bermakna seluruh sistem sekolah dan sektor pendidikan tutup.

“Tetapi, ada permohonan daripada ibu bapa supaya senarai institusi pendidikan atau sekolah (yang ada kes positif COVID-19) ini diumumkan sebab sekarang mereka spekulasi dan bincang sesama sendiri kes-kes sedemikian.

“Mungkin permintaan mereka adalah (kementerian) menamakan sekolah dan institusi pendidikan supaya mereka tahu tentang keadaan sekolah-sekolah berkenaan. Jadi, itu permintaan daripada sebahagian ibu bapa, dan kita berharap kementerian akan membuat pertimbangan ini,” responsnya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Kon Yoew turut menyatakan bahawa pendekatannya adalah apabila terdapat kes positif COVID-19 berlaku, KKM akan buat penilaian risiko dan keputusan akan dibuat terhadap sekolah-sekolah tertentu apabila keadaan memerlukan (ia ditutup).

“Memang ada berlaku di sekolah-sekolah tertentu, kaedahnya adalah kalau tidak tutup keseluruhan sesi persekolahan (secara fizikal), akan ditutup kelas-kelas tertentu sahaja.

“(Justeru,) kita juga masih menunggu jawapan (daripada kementerian berkaitan),” jelasnya.

Tambah Kon Yeow, sehingga semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menyatakan bahawa terdapat keseluruhan 10 kluster di negeri ini yang mana membabitkan sembilan dari sektor perkilangan manakala lain-lain (1).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : DARWINA MOHD. DAUD