Klinik Kesihatan di Bandar Perda dijangka siap 2021, mampu tampung sehingga 800 pesakit sehari – Kon Yeow

Admin

SEBERANG JAYA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap RM26 juta projek Kerajaan Pusat membina Klinik Kesihatan di Bandar Perda akan siap mengikut jadual iaitu pada tahun 2021.

Kelak, katanya, klinik kesihatan itu dijangka dapat menampung antara 600 hingga 800 pesakit dalam sehari.

“Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang bermutu tinggi dan persekitaran rawatan yang lebih selesa kepada rakyat.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga tidak ketinggalan dan turut memainkan peranan yang hampir sama dalam memastikan kebajikan rakyat negeri ini terus diperbaiki…dengan melaksanakan inisiatif menerusi kerjasama bersama Jabatan Kesihatan.

“Seperti projek klinik kesihatan ini, selepas siap, projek ini akan memberi manfaat dan kegembiraan penduduk di sekitar kawasan ini,” jelas beliau dalam Majlis Pecah Tanah Projek Klinik Kesihatan (Jenis 2) Bandar Perda di sini pada 6 April 2019.

Menurut Kon Yeow, projek pemajuan klinik kesihatan itu merupakan salah satu daripada 12 projek Persekutuan yang diluluskan oleh Kementerian di bawah Rancangan Malaysia (Ke-11) dengan anggaran peruntukan kira-kira RM1.6 bilion.

Turut berucap, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Rokiah Mohd..

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud turut sertai majlis tersebut.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

Video : AHMAD ADIL MUHAMAD