Klinik Wakaf An-Nur di Masjid Seberang Jaya untuk golongan terpilih, caj RM5 sahaja!

SEBERANG JAYA – Golongan yang kurang berpendapatan selepas ini boleh mendapatkan rawatan di Klinik Wakaf An-Nur di Masjid Seberang Jaya, dengan membayar serendah RM5 untuk satu sesi rawatan.

Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman merakamkan penghargaan kepada Hospital Pakar KPJ dan Perbadanan Wakaf Johor yang saling berkerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dalam menubuhkan klinik berkonsepkan wakaf tersebut.

“Ini, merupakan manifestasi konsep Islam Rahmat Ke Seluruh Alam, yang digagaskan oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan sekarang.

“Ini, adalah suatu usaha yang sangat murni, klinik ini bertujuan menyalurkan perkhidmatan perubatan kepada pesakit yang kurang berkemampuan, tanpa mengira bangsa dan agama, pada harga paling minimum, RM5 seperti dimaklumkan oleh Dr. Afif.

“Walaupun di Malaysia terdapat hospital yang diuruskan oleh Kerajaan dan sektor swasta, institusi wakaf dilihat turut mampu menyediakan perkhidmatan kesihatan dengan kos yang murah kepada masyarakat,” jelasnya ketika merasmikan pembukaan klinik tersebut di sini pada 11 April 2019.

Turut berucap, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin.

Difahamkan, Klinik Wakaf An-Nur ditubuhkan pada 1998 di Plaza Kotaraya, Johor Bharu, dan kini mempunyai 25 cawangan di seluruh negara.

Klinik Wakaf An-Nur di sini dibuka pada hari Isnin hingga Jumaat, jam 8.30 pagi hingga 5 petang, dengan tenaga doktor, jururawat dan ubat-ubatan disediakan oleh pihak KPJ Pulau Pinang.

Dalam tempoh operasi sejak Januari 2018 hingga Februari tahun ini, direkodkan klinik ini menerima 271 pesakit iaitu 233 Melayu, India (13), Cina (11) dan bangsa-bangsa lain (14) yang diklasifikasikan sebagai golongan yang tidak berkemampuan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD