KM arah agensi Pusat runtuhkan struktur binaan rumah tidak selamat

SUNGAI PINANG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengarahkan agensi Persekutuan, JKP Sdn. Bhd. (JKPSB) supaya meruntuhkan rangka struktur binaan bangunan perumahan dua tingkat projek Mutiara Ria di sini.

Kata beliau, langkah tersebut adalah demi memastikan para pembeli rumah kos rendah (KR) dan kos sederhana rendah (KSR) di sini benar-benar mendiami unit kediaman yang selamat.

“Kita (Kerajaan Negeri) arah runtuhkan bangunan ini kerana struktur binaan adalah tidak selamat,” tegas Guan Eng kepada pemberita ketika melawat tapak projek tersebut pada 13 Oktober lalu.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo; Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim dan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun turut sertai sidang media tersebut.

Hadir sama, Penasihat Strategik Kepada Ketua Menteri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)Ar. Yew Tung Seang.

Difahamkan, projek perumahan itu sepatutnya dibina 17 tingkat, dengan terdiri daripada 192 unit kediaman KR dan 192 KSR.

Namun, projek perumahan agensi persekutuan yang dimulakan pada hujung tahun 2015 tersebut terpaksa dihentikan sepenuhnya pada hujung tahun lalu.

Mengulas lanjut, Guan Eng mengarahkan wakil pemaju meneruskan bayaran sewa kepada semua pembeli unit kediaman di sini dalam tempoh enam bulan lagi, memandangkan pemajuan semula projek tersebut terpaksa dilanjutkan.

Bercakap pada sidang media sama, wakil pemaju, Ir. Samrulzaman K. Mohideenmenyatakan bahawa kerja-kerja perobohan bangunan tersebut akan dilaksanakan pada hujung bulan Oktober ini, sebagai menurut arahan Guan Eng.

Tambah beliau, pemajuan semula projek perumahan di sini dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun depan, untuk didiami oleh para pembeli rumah.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng turut mengarah JKPSB menilai tahap keselamatan pada 15 daripada 24 tingkat struktur
binaan, satu lagi projek 392 unit RMM tidak jauh dari lokasi berkaitan.

“Satu lagi bangunan, juga sedang kita (Kerajaan Negeri) siasat adalah projek rumah mampu milik kerana kontraktor
sama,” jelasnya.

Beliau meminta Samrulzaman memberikan hasil penilaian pada struktur bangunan tersebut terlebih dahulu, sebelum Kerajaan
Negeri membuat keputusan untuk turut merobohkan projek itu atau sebaliknya.