Hasrat bina 5 asrama pekerja asing diteruskan – Exco

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang akan meneruskan hasrat membina asrama pekerja asing di lima lokasi telah dikenal pasti sebagai langkah menangani masalah sosial melibatkan warga asing.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, inisiatif yang pertama kali bakal diwujudkan kini dalam proses pembinaan di Bukit Minyak dan dijangka siap menjelang Ogos 2018.

“Kemajuan  semasa  projek (asrama pekerja asing) dekat Bukit Minyak kini telah mencapai 40 peratus, dan saya percaya ia akan dapat disiapkan tahun hadapan.

“Asrama (Bukit Minyak) ini bakal menempatkan sehingga 6,000 buah katil,” katanya selepas menghadiri majlis keagamaan di Kuil Sri Ramar di Solok York di sini 7 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu bahawa Kerajaan Negeri telah meluluskan lima permohonan pembinaan asrama pekerja asing sepertimana dalam perancangan, iaitu masing-masingnya di Juru, Permatang Tinggi, kawasan Perindustrian Valdor dan Permatang Damar Laut, selain Bukit Minyak.

“(Asrama) kelima-lima lokasi ini dianggarkan dapat menampung lebih 25,000 pekerja, dan ia lengkap dengan kemudahan seperti dewan, kantin dan sebagainya.

“Selain di kawasan Juru yang kini dalam peringkat perancangan, selebihnya projek (asrama pekerja asing) berjalan lancar,” jelasnya.

Tambah Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Pulau Pinang mempunyai kira-kira 200,000 pekerja asing.

“Kita (Kerajaan Negeri) sedang mengkaji bagi menampung 10 peratus daripada jumlah tersebut.

“Tujuan asrama ini dibangunkan adalah untuk menyerap pekerja (warga asing) yang kini dipercayai menetap di rumah pangsa yang kadang-kalanya menduduki separuh daripada skim perumahan (pangsa) tersebut,” ujarnya.