KM cadang Penfurnex teroka potensi

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF


GEORGE TOWN – Penganjuran Pameran Perabot Kali Ke-13 Tahun 2013 (Penfurnex) di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) di sini baru-baru ini diharap dapat melonjak lagi potensi industri berkenaan melalui penerokaan dunia ‘perabot hijau’.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pihaknya berharap penganjuran ekspo selama tiga hari itu dapat menarik 30,000 pengunjung dengan sasaran jualan kasar mencecah kira-kira RM12 juta.

“Para pengeluar juga digesa agar meneruskan pembangunan mampan dan kaedah dengan mengambil kesempatan daripada peralihan pasaran ke arah ‘perabot hijau’.

“Keseimbangan di antara pertumbuhan ekonomi dan kemampanan adalah penting untuk memastikan pertumbuhan jangka panjang industri perabot,” ujarnya di sini baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim turut hadir pada majlis perasmian Penfurnex 2013 itu.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata, Malaysia berada pada ranking kesepuluh sebagai pengeksport terbesar dunia dengan nilai eksport mencecah kirakira 80 peratus daripada pengeluaran industri itu.

Tambah beliau, eksport perabot bagi tahun lepas sahaja mencatatkan peningkatan sebanyak 4.3 peratus atau sebanyak RM8 juta, berbanding tahun sebelumnya yang berjumlah RM7.67 juta sahaja.

Sebelum itu, pengerusi penganjur Penfurnex, Richard Ooi berkata, penganjuran ekspo kali ini menerima 110 penyertaan berbanding tahun lepas, iaitu sebanyak 80 peserta pameran sahaja.

Itu bermakna, katanya, berlaku peningkatan penyertaan pameran sebanyak lima peratus sungguhpun senario ekonomi domestik dirasai sedikit menguncup belakangan ini.

“Ini merupakan satu berita gembira kerana tawaran dalam industri perabot dan barang hiasan dalaman telah meningkat melibatkan semua jenis perabot dan barang hiasan.

“Ia merupakan sebuah pusat sehenti tahunan untuk para penggemar dan pengumpul perabot dan hiasan dalaman untuk datang dan membeli barang-barang yang mereka kehendaki di bawah satu bumbung dengan pelbagai pilihan yang ditawarkan,” ujarnya.