Pemaju beritahu Exco sPICE siap 37 peratus

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI


BAYAN BARU – Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow barubaru ini mengadakan lawatan kerja ke tapak pemajuan Subterranian Penang International Conference & Excibition (sPICE) di sini bagi memastikan pemaju
Kumpulan SP Setia Bhd. mampu menyiapkan projek tersebut siap mengikut jadual pada tahun 2016.

Pengarah Projek pemaju, Ir. A.Anilarasu berkata, projek menaik taraf tersebut umumnya berjalan lancar dengan 37 peratus perancangan pemajuan telah siap.

“Secara keseluruhannya, 37 peratus projek sPICE telah siap dan kerja-kerja penaik tarafan pada sesetengah tempat kita sudah boleh lihat hasilnya,” ujar Anilarasu dalam satu sidang media bersama-sama Kon Yeow di sini baru-baru ini.

Menurut Anilarasu, kerja-kerja menaik taraf yang telahpun siap sepenuhnya meliputi kawasan lobi utama arena orang kenamaan (VIP), parkir bawah tanah, bilik mesyuarat VIP, sistem pendingin hawa serta arena utama stadium.

“Siling dan bumbung stadium telah ditukar akibat mengalami kebocoran…sistem pembesar suara dalam stadium turut dinaik taraf,” jelas beliau.

Tambah beliau, kerja-kerja naik taraf yang masih dilakukan meliputi kawasan kolam renang dan lot-lot kedai komersial.

Itu, katanya lagi, tidak termasuk kerjakerja awalan menaik taraf di kawasan pintu masuk utama yang bakal menempatkan dewan konvensyen.

“Pusat konvensyen ini akan mengutamakan ciri yang moden dan hijau di mana di atasnya akan dibina taman untuk pengunjung beriadah.

“Fasa terakhir projek ini turut akan menempatkan dua buah blok hotel berkembar bertemakan ‘kubik’ yang menarik serta berbentuk futuristik dan dijangka sedikit lewat dari projek di zon lain,” ujar Anilarasu.

Pemajuan sPICE sekarang adalah di atas tapak Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA).