KM gesa Pusat martabatkan sekolah Tamil, bina SMJKT pertama negara di P. Pinang

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

GEORGE TOWN – Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi digesa supaya membuktikan komitmen dalam usaha memartabatkan sekolah-sekolah aliran Tamil, dengan menyediakan peruntukan dana untuk pemajuan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tamil (SMJKT) pertama negara di Pulau Pinang.

Mengulangi desakan itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri sejak tahun 2013 lagi telahpun menyumbang sebidang tanah dekat Bagan Dalam, Seberang Perai Utara (SPU) untuk projek berkaitan.

Terbaru, katanya pemberian sebidang tanah untuk projek pembangunan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Subramaniya Barathee, sekaligus menjadi bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam memartabat pendidikan kaum India di Pulau Pinang.

“Usaha membantu sekolah-sekolah Tamil di negeri ini tidak terhenti di situ saja.

“Atas pemberian tanah secara ehsan ini, SJKT Subramaniya Barathee (dekat Sungai Gelugor) yang dulunya terletak di atas tanah swasta dan luasnya kurang daripada satu ekar, kini memiliki dan mampu beroperasi dalam keadaan lebih selesa dengan keluasan 2.3 ekar tanah,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam baru-baru ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Bantuan Kerajaan Negeri Pulau Pinang Kepada Tadika SekolahSekolah Tamil Serta Pendidikan Tamil dan Punjabi 2016 di sini baru-baru ini.

Turut berucap, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai merangkap Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang dan Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah-sekolah Tamil, Datuk K. Anbalagan.

Pada majlis tersebut, difahamkan, sejumlah RM100,000 diserahkan kepada 27 tadika dalam SJKT di negeri ini, manakala, RM70,000 untuk sekolah-sekolah Punjabi.

Tidak cukup dengan itu, Kerajaan Negeri turut menyumbang peruntukan khas sebanyak RM90,000 kepada Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil, bagi menampung keperluan kontigensi serta perkembangan pendidikan Tamil.

Guan Eng memberitahu, Kerajaan Negeri pada tahun 2014 turut menyumbang sebidang tanah bernilai RM1.4 juta untuk pemajuan bangunan baharu SJKT Azad dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Kebun Bunga.

Selain itu, tambahnya, Kerajaan Negeri sebelum ini turut membina bilik khas di SJKT Ladang Krian dan SJKT Sungai Bakap untuk operasi pendidikan peringkat tadika di kedua-dua sekolah tersebut.

“Sekiranya mereka berminat menubuhkan tadika, kita (Kerajaan Negeri) sedia membantu seperti yang kita tolong di SJKT Rajaji dan SJKT Ladang Transkrian.

“Pada tahun ini (2016), kami sedang membina dua buah kelas dengan serba lengkap untuk tadika di SJKT Ladang Malakoff,” jelasnya yang juga ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.