Pemenang Peraduan Mewarna, Kumpul & Menang dimuktamad

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Seramai 23 pemenang Peraduan Bakat Si Cilik – Mewarna 3.0 serta pemenang tunggal Peraduan Kumpul & Menang Buletin Mutiara telahpun dimuktamadkan pada 18 Julai baru-baru ini.

Jawatankuasa Juri Pemilih yang membuat keputusan bagi kedua-dua pertandingan tersebut adalah Pengurus Besar Penang Green Council (PGC), Thing Siew Shuen, K. Vishantini (Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang) dan Muhamad Azrai Mohamad Zaini (Setiausaha Sulit Kanan Kepada Ketua Menteri).

“Sukar juga untuk kami (Jawatankuasa Juri) untuk memilih pemenang kerana semua (hasil) yang dihantar kepada kami sangat cantik, dan ada (hasil) nilai tambah yang begitu kreatif.

“Yang paling penting bagi peraduan kali ini, adalah memupuk kesedaran dalam kalangan komuniti bermula pada usia kanak-kanak sebagai menyokong inisiatif Kerajaan Negeri dalam melaksanakan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca,” ujar Vishantini selepas selesai sesi pemilihan para pemenang di Pejabat Sidang Redaksi Buletin Mutiara di sini.

Peraduan Bakat Si Cilik – Mewarna 3.0 yang diadakan dalam tempoh 1 April hingga 14 Jun lalu berjaya menerima penyertaan hampir 1,000 daripada kanakkanak berusia 12 tahun dan ke bawah.

Juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM300, naib juara (RM200) dan ketiga (RM100). Turut menerima hadiah adalah 20 pemenang saguhati. Bagi Peraduan Kumpul & Menang Buletin Mutiara, pemenang bakal menerima hadiah berupa wang tunai RM1,000.