KM kagum semangat kental pelajar istimewa cemerlang

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Cacat penglihatan sejak lahir tidak menghalang Kenzon Yeoh, 12, seorang murid Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (Penglihatan) Alma, Bukit Mertajam, di sini memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.

Kenzon yang meraih keputusan 5A dalam UPSR yang diumumkan baru-baru ini menyatakan  bahawa beliau tidak pernah merasakan ‘kekurangan’ yang ada pada dirinya sebagai kelemahan dan penghalang untuk menimba ilmu pengetahuan.

“Ini adalah hadiah teristimewa untuk kedua-dua ibu dan bapa saya.

“Mereka (ibu bapa) sangat gembira dan ianya cukup berharga buat saya kerana telah menggembirakan mereka,” kata Kenzon ketika ditemui Buletin Mutiara pada Majlis Penyampaian Sumbangan Khas Kerajaan Negeri Kepada Pelajar Cemerlang UPSR Dari Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di sini baru-baru ini.

Kenzon yang hadir ke Komtar bersama bapanya, Yeoh Chin Yeau, 50, dan ibu, Thee Suh Pyng, 47, merupakan seorang pelajar berjiwabesar.

Beliau yang petah bercakap bercita-cita untuk menghasilkan sebuah perisian berkomputer bagi membantu kehidupan seharian golongan cacat penglihatan.

Antara penerima lain adalah Teoh Zhan Feng dari Sekolah Kebangsaan Jalan Hamilton yang turut memperoleh keputusan 5A; Norsyazwani Mohd. Shapari (2A 3C), Trina Tasya Md. Tajudin (2A 2B 1C) dan P. Partiban (2A 1B 2C) masing-masing dari sekolah sama dengan Kenzon.

Para pelajar berkenaan masing-masing menerima sijil penghargaan dan token.

Pada majlis tersebut, Kenzon dengan yakin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang mengambil inisiatif khas memberi penghargaan kepada beliau serta rakan-rakannya.

“Di kesempatan ini juga, saya ingin ucapkan tahniah kepada rakan-rakan yang telah memperoleh keputusan cemerlang dalam UPSR baru-baru ini.

“Terima kasih juga kepada semua yang telah memberi sokongan kepada kami, murid-murid khas,” ucap Kenzon yang juga fasih berbahasa Inggeris, Malaysia dan Hokkien.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang menyempurnakan majlis penyampaian berkenaan menekankan bahawa Kerajaan Negeri bangga dan menghargai pencapaian cemerlang para pelajar terbabit dalam peperiksaan baru-baru ini.

“Tahniah atas kejayaan dan usaha gigih yang ditonjolkan dan diharapkan agar mereka mampu mencapai kecemerlangan di peringkat lebih tinggi.

“Secara peribadi, saya kagum dengan semangat kental dan kecekalan mereka dalam menempuh cabaran setiap hari,” ujar beliau. Hadir sama, Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Ong Kok Fooi dan Pengarah Pelajaran Pulau Pinang, Ahmad Tarmidzi Kamaruddin.

KETUA Menteri memeluk mesra Kenzon Yeoh atas pencapaian cemerlang dalam UPSR pada Majlis Penyampaian Sumbangan Khas Kerajaan Negeri Kepada Pelajar Cemerlang UPSR OKU di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri memeluk mesra Kenzon Yeoh
atas pencapaian cemerlang dalam UPSR
pada Majlis Penyampaian Sumbangan Khas
Kerajaan Negeri Kepada Pelajar Cemerlang
UPSR OKU di sini baru-baru ini.