KM minta PDC positif hadapi saingan swasta

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

BAYAN BARU – Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) wajar menempuhi persaingan pada tahap tinggi dengan syarikat-syarikat swasta lain demi memajukan pembangunan Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, penarafan empat bintang yang diterima sebelum ini melayakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri itu segera menerima perubahan persekitaran pembangunan di negeri berkenaan.

“Dalam melakukan perubahan ke arah positif semua pihak harus menerima dengan baik sekali walaupun agak sukar untuk diadaptasi pada peringkat awal.

“Kita harus melihat pihak swasta sebagai saingan utama untuk kita memajukan PDC yang sememangnya pihak swasta adalah penerajui sektor pembangunan negara dan ini harus diakui,” ujar beliau pada majlis Hari Terbuka Aidilfitri PDC di sini barubaru ini.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof P. Ramasamy, Chow Kon Yow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir), Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan Danny Law Heng Kiang (Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan) turut hadir pada keraian tersebut.

Beliau yang juga Pengerusi PDC berkata, pentadbiran berasaskan bajet yang diguna pakai serta berjaya selama ini juga perlu ditukar demi menambah baik serta menambah nilai kepada PDC.

“Pentadbiran berdasarkan hasil, haruslah diterapkan dengan mengkaji hasil yang kita terima dari usaha yang kita telah kita lakukan.

“Jika gagal, kita harus mengenal pasti aspek-aspek yang menjurus kepada kegagalan itu dan memperbaikinya.

“Jika berjaya, bermakna usaha kita memang menjadi dan harus diterapkan untuk kita bersaing dan berjaya,” jelasbeliau pada majlis anjuran Persatuan Kakitangan Islam PDC itu.

Nasi tomato, rendang, ketupat, lemang, kuih raya, rojak antara hidangan menarik pada keraian Rumah Terbuka PDC tersebut.

Sementara itu, Persatuan Kakitangan Islam PDC pada 20 Julai lepas turut mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan membeli barangan keperluan untuk diserah kepada keluarga terpilih di Kampung Pasir Gebu dekat Penaga.

Manakala, pada 1 Ogos lalu, persatuan sama dilaporkan membawa para pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti dekat Juru ke sebuah pasar raya untuk membeli pakaian Aidilfitri yang merupakan sebahagian program Aidilfitri.