KM cadang crime map cegah jenayah

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI


TANJUNG BUNGAH – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng melahirkan idea mewujudkan Crime Map atau peta jenayah yang mendedahkan kawasan-kawasan tumpuan jenayah demi memelihara keselamatan orang awam.

Idea itu dicetuskan sebagai reaksi pada indeks jenayah di negeri berkenaan yang menyaksikan peningkatan sebanyak 4.7 peratus.

“Saya akan berbincang dengan Ketua Polis Negeri (Datuk Abdul Rahim Hanafi) tentang hal ini.

“Peta jenayah itu akan dibincangkan secara terperinci untuk mengenalpasti tempat-tempat kerap berlakunya jenayah lalu kita akan edarkan peta tersebut kepada orang ramai,” ujar beliau Majlis Perasmian Taman Permainan Hijau bertempat di Straits Quay di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, cadangan itu adalah sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.

“Ini harus dipandang serius kerana sejak kita mengambil alih pada tahun 2008 hingga tahun 2012, kes jenayah semakin menurun, cuma tahun ini ada naik sedikit,” ujar beliau lagi.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memuji Eastern and Oriental(E&O) kerana membaik pulih taman tersebut yang didakwa rosak akibat vandalisme pihak tidak bertanggungjawab.

Difahamkan, taman berkeluasan hampir dua hektar yang dinaik taraf itu berkonsepkan taman permainan air, lengkap dengan lanskap serta tanaman pokok herba.

Sebelum itu, Pengarah Urusan E&O, Datuk Terry Tham Ka Hon berkata, projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama-sama menelan belanja RM3.5 juta dan akan diserah kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).