KM puji inisiatif My Seri Delima, perkuasakan komuniti setempat

SERI DELIMA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji inisiatif diambil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid ekoran memperkenalkan Projek My Seri Delima bagi memperkuasakan komuniti setempat.

Menurutnya, inisiatif tersebut adalah selaras dengan visi Penang2030 yang memberi tumpuan terhadap kesejahteraan keluarga.

“Saya percaya fokus utama inisiatif My Seri Delima adalah untuk kesejahteraan komuniti di sini.

“(Dan) sebagai wakil rakyat, inisiatif tersebut akan membolehkan komuniti setempat memainkan peranannya dengan lebih efektif, ” ucap beliau pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seri Delima di Dewan MPKK Island Park dekat sini, semalam.

KETUA Menteri dan isteri menyempurnakan acara menggaul yee sang.

Dalam pada itu, Syerleena ketika ditemui berkata, Projek My Seri Delima adalah kerangka misi untuk tempoh lima tahun dalam memastikan keselesaan dan keselamatan komuniti setempat.

“Ia juga akan memberi ‘kuasa’ untuk komuniti setempat berkongsi idea serta pandangan dalam membangunkan Seri Delima,” katanya yang turut percaya bahawa penganjuran rumah terbuka seperti itu merupakan salah satu medium perpaduan kaum yang bukan sahaja menyatupadukan malah juga meraikan perbezaan.

Terdahulu, ketibaan Ketua Menteri dan isteri, Puan Tan Lean Kee disambut meriah dengan paluan gendang Cina dan tarian singa diikuti dengan acara lou sang.

Para tetamu juga berkesempatan untuk menyertai acara cabutan bertuah yang pastinya menyediakan hadiah menarik.

Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina KADUN Seri Delima dianjurkan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Island Park dan Greenlane Heights.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN