Anjur festival makanan halal China jika MAHTAF 2016 berjaya – Rashid

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

PANTAI JEREJAK – Purata nilai jualan pada penganjuran Malaysia Thailand Halal Food Festival 2016 (MAHTAF 2016) sejak 23 Oktober lalu di tanah lapang dekat pusat membeli-belah Queensbay Mall di sini adalah lebih RM100,000 sehari.

Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon berkata, pihaknya sedia mempertimbang untuk menganjurkan festival makanan halal dari China di negeri ini kelak, jika nilai jualan MAHTAF 2016 yang berlangsung selama 10 hari tersebut keseluruhannya mampu mencecah RM1.5 juta.

“MAHTAF 2016 dianjurkan untuk merangsang kuasa membeli dan kuasa produktiviti usahawan.

“Jika nilai jualan boleh mencecah RM1.5 juta dalam tempoh 10 hari penganjuran MAHTAF 2016 ini, kita (MMK Pembangunan Keusahawanan Kerajaan Negeri) sedia mempertimbang untuk anjur festival makanan halal China pula,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak pada Majlis Pelancaran MAHTAF 2016 di sini baru-baru ini.

Mohd. Rashid memberitahu, pihaknya dalam MAHTAF 2016 menyediakan tanah lapang serta menyerap kos permit penganjuran festival sahaja, yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM40,000.

Menurut beliau, MAHTAF 2016 adalah anjuran bersama MMK Pembangunan Keusahawanan, Pejabat Timbalan Ketua Menteri I, Pusat Khidmat Rakyat ADUN Pantai Jerejak serta Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan syarikat acara Project Malaya.

Siri sulung MAHTAF 2016 tersebut terdiri oleh 80 gerai pameran yang mana meliputi 30 gerai pameran produk kering, manakala gerai makanan (50).}