KM puji sokongan sebulat suara penduduk Kampung Sungai Lembu

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SHUM JIAN-WEI

PENANTI – Lim Guan Eng melahirkan rasa gembira atas sokongan penduduk Perkampungan Baru Sungai Lembu kepada Kerajaan Negeri, sungguhpun pembangkang Pulau Pinang menyebarkan pelbagai dakyah mengenai operasi sebuah kilang tanpa lesen di sini.

Ketua Menteri itu berkata demikian pada majlis penerangan ‘Bersatu Di Permatang Pauh, Mentadbir Di Putrajaya’ di Dewan JKKK Permatang Baru Sungai Lembu di sini 26 Ogos lalu.

“Itu (Pengerusi Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi (Mohd. Said) cuba menangguk di air keruh, datang ke Kampung Sungai Lembu, tak ada seorang pun penduduk kampung keluar berdiri bersama dia.

“Tanpa seorang penduduk pun bersama dia (Mohd. Zaidi) kerana mereka semua orang ‘Kak Wan’… sebulat suara penduduk Kampung Sungai Lembu, kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya pada majlis berkaitan.

Turut berucap, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail atau ‘Kak Wan’; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon serta Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng

Wan Azizah sebelum itu mempersoal tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Phee Boon Poh (Exco Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar) berhubung sebuah kilang memproses habuk kayu yang beroperasi lebih 10 tahun tanpa lesen di Perkampungan Baru Sungai Lembu.

“Kalau membabitkan pemimpin pembangkang (Pakatan Harapan), cepat sahaja ditahan, tapi apabila melihat ‘jerung besar’ yang dilaporkan di media-media antarabangsa, tiada tindakan.

“Saya memang nak menegur cara SPRM dalam isu ini,” ujarnya yang juga Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.